Friday 25 July 2014

Kelangsungan politik yang menjadi taruhan dan bukannya kerusi tradisional!

Rakan-rakan dalam Barisan Nasional Sarawak gemar untuk berhujah parti tulang belakang Barisan Nasional Sarawak akan turut bersikap marah seperti mereka sekiranya kerusi parti tersebut diambil oleh parti lain yang bukan dalam Barisan Nasional tetapi mendakwa pro-Barisan Nasional.

Dan ada diantara mereka yang begitu lantang mengatakan biar PBB sahaja memberi kerusi parti tersebut kepada TERAS dan UPP; dan kerusi yang ada pada kedua-dua parti tersebut dikembalikan kepada SPDP dan SUPP.

Dan ada juga yang berkata jumlah kerusi tradisional yang dimiliki oleh mereka ialah 36 ialah melebihi sebanyak satu kerusi dari kerusi milik PBB.

Yang menggelikan hati ialah tidak dinyatakan daripada 36 kerusi, berapa kerusi yang mampu dimenangi.

Kuasa yang diperolehi melalui pilihanraya dimiliki bukan berdasarkan kepada berapa kerusi tradisional yang dimiliki atas kertas tetapi berapa kerusi tradisional yang dimenangi.

Menyentuh mengenai hujah bahawa PBB akan marah sekiranya kerusi PBB diambil oleh parti lain, ada kebenarannya.

Saya tidak menafikan hal ini tetapi biatlah penghujahan berlandaskan kepada realiti semasa yang berlaku di bumi nyata dan bukannya penghujahan yang bersifat teoritikal.

Isu semasa ialah berlakunya kekecohan politik dalam SPDP dan SUPP ( telah berlarutan  dalam jangka masa yang begitu lama) yang boleh mengganggu gugat penguasaan Barisan Nasional dalam politik Sarawak.

Dimanakah ahli-ahli politik yang keluar dari parti masing-masing hendak diletakkan?

Perlu dinyatakan disini ahli-ahli politik terbabit bukannya pemimpin diperingkat kampung tetapi pemimpin diperingkat negeri ataupun DUN.

Sudah semestinya mereka mempunyai penyokong masing-masing diseluruh negeri Sarawak!

Hakikat ini tidak dapat dinafikan! Kecuali jika seseorang itu baru sahaja berkecimpung dalam politik!

Maka soalan yang releven bukannya apakah tindakan PBB sekiranya kerusinya diambil oleh parti lain; tetapi apakah yang patut dilakukan untuk kekalkan penguasaan Barisan Nasional dalam politik Sarawak!

Sebagai parti tulang belakang Barisan Nasional, PBB mempunyai peranan untuk memastikan Barisan Nasional akan sentiasa menguasai politik Sarawak.

Kelangsungan politik Barisan Nasional adalah segala-galanya!

Bahkan PBB akan turut menjadi mangsa kelangsungan politik Barisan Nasional sekiranya PBB gagal mendapat sokongan yang kuat dari rakyat Sarawak.

Segala Puji untuk Allah, setakat ini kelangsungan politik PBB amat bertaut rapat dengan kelangsungan politik Barisan Nasional.

Ini disebabkan kejayaan para pemimpin PBB mendapatkan sokongan rakyat walaupun ada usaha-usaha yang cuba untuk mensabotaj sokongan ini kerana tidak mahu melihat PBB berada dalam kedudukan yang selesa.

Menyentuh hujah mungkin PBB memberi kerusi parti kepada pemimpin-pemimpin TERAS dan UPP, mungkin tidak keterlaluan sekiranya saya berpendapat mungkin kerusi-kerusi yang dipertikaikan itu diberikan saja pada PBB memandangkan PBB mempunyai rekod kemenangan yang lebih baik.

Kelancangan dilemparkan kepada PBB ada batasnya.

Sekiranya kelancangan tidak disekat, maka jangan salahkan ahli-ahli PBB untuk melakukan perkara yang sama!

Merujuk kepada dakwaan bahawa Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menjemput TERAS dan UPP untuk menyertai Barisan Nasional, saya melihat jemputan ini bersifat peribadi yang bukan mewakili PBB.

Mungkin dari penganalisaan beliau, Barisan Nasional lebih utuh dengan kehadiran TERAS dan UPP dalam keluarga Barisan Nasional. Itu hak beliau untuk bersuara.

Tetapi pada masa yang sama, pihak yang lain mempunyai penganalisaan yang berbeza.

Walau apapun penganalisaan mana-mana pihak, keputusan rakyat adalah keputusan yang 'tepat' terhadap masalah yang membelenggu Barisan Nasional Sarawak.

Terpulang kepada rakyat untuk menentukan warna-warna politik yang bakal mewarnai landskap Sarawak.

Saya menyeru semua pihak agar tidak menyemarakkan perasaan marah dalam usaha untuk menyelesaikan masalah semasa politik Sarawak.

Biarlah perbalahan dilakukan dengan semangat kekeluargaan Barisan Nasional dan bukannya membuat provokasi terhadap rakan-rakan dalam Barisan Nasional.


Pandi Suhaili
Bekas Naib Ketua Pemuda PBB

No comments:

Post a Comment