Tuesday 28 June 2016

Perlukah anak Sarawak bangkit seperti Sabah?

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Rohani Karim, Nancy Shukri dan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana dikekalkan dalam Kabinet Menteri Kerajaan Persekutuan.

Keputusan untuk mengekalkan pemimpin-pemimpin Sarawak ini menunjukkan bahawa mereka telah berjaya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.

Tahniah sekali lagi.

Merujuk kepada keputusan untuk tidak mengambil pemimpin Sarawak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Douglas Uggah, saya berpandangan ianya bukanlah satu keputusan yang BIJAK memandangkan ia dibuat dalam keadaan politik nasional yang masih tidak menentu.

Siapa yang menjangka ahli-ahli UMNO di Sabah memberontak (apabila pemimpin mereka di gantung keahliannya) walaupun setelah UMNO berjaya memenangi pilihanraya kecil di Malaya?

Rata-rata pemimpin peringkat nasional merasa yakin bahawa politik nasional berada dalam phasa penstabilan setelah UMNO berjaya menewaskan PAS dan AMANAH.

Bahkan kejayaan tersebut dikatakan amat manis sekali apabila UMNO berjaya menewaskan Tun Mahathir Mohamad yang merupakan bekas pemimpin nombor satu parti tersebut.

Rakyat (dan ahli-ahli UMNO) dikatakan telah menolak Tun Mahathir Mohamad dengan kejayaan UMNO dalam pilihanraya tersebut.

Saya bersetuju dengan ulasan Datuk Alexander Nanta Linggi bahawa kaum Dayak mungkin merasa tidak senang dengan kegagalan untuk menamakan pemimpin mereka untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Douglas Uggah.

Oleh itu, saya menyeru kepimpinan Barisan Nasional diperingkat pusat agar berusaha melakukan sesuatu sebelum sesuatu yang tidak dijangkakan akan berlaku.

Selama ini anak-anak Sarawak mengambil sikap beranggapan baik bila berurusan dengan kepimpinan Barisan Nasional pusat.

Diharapkan anak-anak Sarawak akan terus mengambil pendekatan sebegini.

Walau bagaimanapun, ia banyak bergantung kepada sikap kepimpinan Barisan Nasional diperingkat pusat terhadap rakyat Sarawak.

Akhirkata, saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Henry Sum Agong diatas pelantikkannya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

No comments:

Post a Comment