Sunday, 21 November 2010

38 murid SK Jepak sertai majlis khatan beramai-ramai

SERONOKNYA!: Murid-murid SK Jepak yang menyertai Majlis Berkhatan Perdana begitu seronok disiram dengan air menggunakan hos jentera bomba yang disempurnakan oleh Talib sambil disaksikan oleh Pandi (tiga kiri).


Utusan Borneo
Posted on November 21, 2010, Sunday

BINTULU: Seramai 38 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jepak menyertai Majlis Berkhatan Perdana secara beramai-ramai, pagi semalam.

Rata-rata murid terbabit tampak gelisah, sehinggakan ada yang tidak senang duduk dan keluar masuk bilik air.

Namun, kerisauan itu hilang apabila mereka disiram dengan air menggunakan hos jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu di padang hadapan Balai Raya Kampung Jepak sambil diiringi dengan paluan kompang.

Upacara itu diadakan sebelum mereka dijadual dikhatankan di Hospital Bintulu pada jam 1 petang semalam.
Pelancaran majlis anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.58 Jepak itu disempurnakan oleh Menteri Muda Pelancongan me-rangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip.

Ia turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda PBB Jepak merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB Negeri dan Pengerusi Biro Ekonomi PBB Negeri Sarawak Pandi Suhaili, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak Abdul Aziz Tan Sri Adenan dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Jepak Hamdiah Ahmad.


Selain pelancaran majlis berkhatan, turut diadakan Majlis Khatamal Al-Quran membabitkan 86 murid SK Jepak.

Terdahulu, peserta majlis berkhatan dan khatamal al-Quran yang berpakaian baju Melayu dan baju kurung diarak dari     Surau Darul Dakwah diiringi paluan kompang oleh kumpulan hadrah ke Balai Raya Kampung Jepak.

Kemudian upacara berzikir dimulakan seterusnya bacaan doa selamat oleh Imam 2 Masjid Jepak, Mohd Ariffin Junaidi.

Acara menepung tawar peserta majlis berkhatan dengan iringan zikir menyusul yang disempurnakan oleh Talib, Abdul Aziz dan Pandi serta tetamu lain.

Ini diikuti Majlis Khatamal Al-Quran sebelum acara kemuncak menyaksikan peserta majlis berkhatan disiram beramai-ramai dengan air meng-gunakan hos jentera bomba.

No comments:

Post a Comment