Thursday 25 July 2013

Kenyataan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili 25hb Julai 2013

Kenyataan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili
25hb Julai 2013
(merujuk kepada ''Chong: DAP to open branches in 21 rural seats")

Keputusan DAP untuk tidak membuka cawangan di kawasan majoriti Melayu/Melanau mengesahkan pendirian masyarakat Melayu/Melanau yang menolak parti yang bermotifkan Malaysian Malaysia.

Bahkan keputusan itu juga mengesahkan persepsi bahawa masyarakat Melayu/Melanau menolak pembangkang tanpa mengira sama ada ia adalah PKR, PAS dan DAP.

Penolakkan ini adalah kerana masyarakat Melayu/Melanau tidak mudah untuk diperdayakan oleh janji-janji manis pembangkang yang beranggapan rakyat Sarawak mudah untuk ditipu.

Saya ingin menyeru masyarakat Dayak agar menolak DAP yang secara terang-terang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia yang bertujuan untuk memansuhkan status Bumiputera.

Sekiranya konsep Malaysian Malaysia ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil sekiranya apa jua yang berstatuskan Bumiputera ataupun yang memberi kelebihan kepada Bumiputera, akan dihapuskan.

DAP sebenarnya cuba untuk menipu rakyat apabila ia bercakap tentang keadilan kerana keadilan yang dimaksudkan ialah keadilan berdasarkan kepada acuan Malaysian Malaysia.

Ianya bukan berdasarkan kepada acuan keadilan yang dikehendaki oleh masyarakat Bumiputera.

Saya menyeru rakyat Sarawak agar menggunakan sepenuhnya pilihanraya negeri yang akan datang untuk menghukum DAP kerana cuba menipu masyarakat Bumiputera agar bersetuju dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkannya.

Keadilan yang baik untuk masyarakat Bumiputera ialah berdasarkan kepada acuan Barisan Nasional; dan bukannya berdasarkan kepada acuan Malaysian Malaysia tajaan DAP, dan disokong sepenuhnya oleh PKR dan PAS!

Sekian. Terimakasih.

.........................................................................................

Saturday 20 July 2013

Kenyataan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili 20hb Julai 2013

Kenyataan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili
20hb Julai 2013
(merujuk kepada ''PR sedia tawan Sarawak")

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sarawak See Chee How telah mengeluarkan kenyataan yang menggelikan hati apabila beliau berkata Pakatan Rakyat bersedia menawan Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Beliau perlu terlebih dahulu melihat masalah-masalah hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebelum bermimpi di siang hari.

Sambutan yang menggalakkan yang diberikan kepada DAP oleh majoriti masyarakat Cina tidak membawa makna masyarakat Bumiputera akan memberi kepercayaan kepada parti yang berteraskan perjuangan Malaysian Malaysia yang berobjektifkan penghapusan status Bumiputera di Malaysia.

Rata-rata masyarakat Melayu telah menolak PKR dalam pilihanraya umum yang lepas atas sebab merasa loya dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya di negeri Sarawak.

Mungkin sekarang lebih ramai rakyat Sarawak menyetujui tindakan majoriti masyarakat Melayu berdasarkan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup mengorbankan setia kawan dan kepercayaan demi kuasa.

Bahkan Timbalan Presiden Keadilan Azmin Ali sendiri tidak menyenangi pendekatan politik yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menegur ketua umum Pakatan Rakyat menggunakan akaun twitternya selepas PRU lepas.

Ini adalah hakikat.

Adakah rakyat Sarawak masih mahu diperbodohkan oleh ketua (dan kuncu-kuncu) sedangkan pada masa yang sama orang kanannya sendiri mengkritiknya?

Tepuk dada tanyalah selera.

Manakala PAS pula sedang dipenghujung era kepimpinan ulama yang diketuai oleh Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Kita sedia maklum, PAS lebih bersifat terbuka kepada Barisan Nasional sebaik sahaja Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan.

Maka, adakah ini bermakna Pakatan Rakyat akan melihat komitmen yang sama dari PAS seperti PRU lepas ketika PRN yang akan datang?

Pada masa yang sama, PAS telah menikam rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, terutamanya PKR, di saat-saat akhir PRU lepas.

Adakah ini bermakna DAP dan PKR bersedia untuk melupakan episod ini dalam persaingan diantara parti-parti Pakatan Rakyat untuk merebut kerusi PRN nanti?

Sungguh menggelikan hati.

Mungkin DAP, PKR dan PAS beranggapan rakyat Sarawak dapat diperbodohkan. Tetapi PRU yang lepas menunjukkan ramai rakyat Sarawak amat bijak sehingga menyaksikan banyak kerusi  di Sarawak telah dimenangi oleh Barisan Nasional dibawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam PRN yang akan datang, Barisan Nasional, dimana PBB adalah sebagai parti tulang belakang, akan terus menguasai Sarawak bagi menyelamatkan Sarawak dari pertelingkahan politik diantara DAP, PKR dan PAS.

Hidup Barisan Nasional!

Sekian. Terimakasih.

.........................................................................................