Sunday 21 November 2010

Mencongak tarikh mandat baru

Berita Harian
21/11/2010 
  
Cakap-cakap pilihan raya umum serentak dengan Sarawak mula kedengaran

SEBAIK muncul di khalayak umum selepas sembuh menghidap penyakit cacar, badan Datuk Seri Najib Razak kelihatan susut sedikit, tetapi wajah tetap berseri dengan bibirnya berwarna kemerahan, yang sinonim dengan penampilannya. 

Ketika mula diserang penyakit itu 4 November lalu, Perdana Menteri berada di bilik air di kediamannya. Najib kini sudah hampir sembuh sepenuhnya dan kembali bertugas, meskipun banyak acaranya sejak seminggu lalu, diwakilkan kepada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak hairanlah Facebook Najib dibanjiri ribuan ucapan selamat kembali bertugas, diiringi doa untuk terus sihat. Menjelang 3 April tahun depan, Najib akan menyambut ulang tahun kedua sebagai Perdana Menteri. Beberapa hari sebelum itu, 26 Mac 2011, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula menyambut ulang tahun ke-30 sebagai Ketua Menteri Sarawak. 

Sejak Barisan Nasional (BN) menang dua pilihan raya kecil, iaitu Parlimen Batu Sapi (Sabah) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas (Kelantan) baru-baru ini, sudah ada cakap-cakap kemungkinan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat, serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak. 

Yang pasti, Sarawak akan adakan pilihan raya negeri dalam tempoh lapan bulan mulai sekarang kerana DUN yang ada akan tamat tempohnya menjelang 24 Julai 2011. Antara Mac hingga April depan adalah tarikh popular menjadi teka-teki pemerhati politik, untuk pilihan raya. 

Yang belum pasti ialah pilihan raya umum, sama ada ia akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak. Jika serentak, bermakna pilihan raya umum juga perlu diadakan sebelum Julai depan, meskipun tempoh kerajaan BN pada peringkat Persekutuan sekarang hanya akan berakhir pada 2013, lebih dua tahun lagi. 

38 murid SK Jepak sertai majlis khatan beramai-ramai

SERONOKNYA!: Murid-murid SK Jepak yang menyertai Majlis Berkhatan Perdana begitu seronok disiram dengan air menggunakan hos jentera bomba yang disempurnakan oleh Talib sambil disaksikan oleh Pandi (tiga kiri).


Utusan Borneo
Posted on November 21, 2010, Sunday

BINTULU: Seramai 38 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jepak menyertai Majlis Berkhatan Perdana secara beramai-ramai, pagi semalam.

Rata-rata murid terbabit tampak gelisah, sehinggakan ada yang tidak senang duduk dan keluar masuk bilik air.

Namun, kerisauan itu hilang apabila mereka disiram dengan air menggunakan hos jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu di padang hadapan Balai Raya Kampung Jepak sambil diiringi dengan paluan kompang.

Upacara itu diadakan sebelum mereka dijadual dikhatankan di Hospital Bintulu pada jam 1 petang semalam.
Pelancaran majlis anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.58 Jepak itu disempurnakan oleh Menteri Muda Pelancongan me-rangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip.

Ia turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda PBB Jepak merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB Negeri dan Pengerusi Biro Ekonomi PBB Negeri Sarawak Pandi Suhaili, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak Abdul Aziz Tan Sri Adenan dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Jepak Hamdiah Ahmad.