Saturday 24 December 2016

Merry Christmas


Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian di Sarawak, khasnya, dan Malaysia, amnya.


Monday 12 December 2016

Salam Maulidur Rasul


اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ كَمَا بَارِكَتْ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد

Ya Allah! Berilah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau telah member shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di dalam alam semesta ini hanya Dikau sahajalah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia!

Setiap tahun kita menyambut keputeraan Rasulullah tanpa rasa jemu.

Bahkan sambutan keputeraan baginda memberi makna yang besar kepada kita kesemua.

Bagindalah nabi dan rasul ALLAH yang terakhir.

Saturday 5 November 2016

Isu IPG - Terimakasih Adenan kerana kata TIDAK kepada Najib


Keputusan Kerajaan Barisan Nasional Sarawak untuk tidak membenarkan Putrajaya menutup dan menukar status  dua Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak adalah keputusan yang terpuji.

Ternyata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah mengukuhkan imejnya sebagai pembela anak-anak Sarawak dengan keputusan tersebut.

Bahkan saya tidak pernah meragui kesungguhan Tan Sri Adenan Satem untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak!

Terimakasih Tan Sri!!!

Saya juga setuju dengan kenyataan Tan Sri Adenan yang mengatakan keputusan untuk menukar dan menutup IPG tersebut adalah satu keputusan yang bodoh!

Wednesday 2 November 2016

Anak-anak Sarawak telah lama bersabar!!!



Kerajaan Barisan Nasional Sarawak telah membuat satu keputusan yang tepat apabila berusaha membuat usul yang komprehensif meliputi semua aspek berkaitan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Malaysia dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Usul seumpama ini sudah semestinya menggembirakan anak-anak Sarawak kerana ia merangkumi semua aspek hak-hak Sarawak.

Masanya sudah tiba anak-anak Sarawak mendapatkan semula hak-hak yang telah diambil dari tangan anak-anak Sarawak.

Anak-anak Sarawak telah lama bersabar dengan karenah Malaya menganaktirikan Sarawak seolah-olah tidak ada jasa dalam pembentukkan Malaysia dan membangunkan Malaysia.

Contoh mutakhir ialah keputusan untuk menutup dua Institusi Pengajian Guru (IPG) tanpa membuat perundingan dengan Kerajaan Barisan Nasional Negeri.

Sunday 30 October 2016

Isu IPG - Adakah ini sikap sebenar Putrajaya terhadap Sarawak?

Kegagalan Putrajaya mendapatkan pandangan Kerajaan Negeri Sarawak berhubung dengan keputusan untuk menukar status dua Institut Pendidikan Guru (IPG) - Miri dan Rejang - kepada politeknik ataupun kolej vokasional amat dikesali.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Datuk Fatimah Abdullah yang ditugaskan oleh Kerajaan Negeri untuk menangani hal-ehwal pendidikan di negeri Sarawak.

Saya bersetuju dengan pandangan Datuk Fatimah Abdullah yang tidak gembira dengan berita keputusan untuk menukar status dua IPG tersebut.

Secara peribadi saya merasa terkilan dengan tindakan Putrajaya yang seolah-olah tidak menghargai sumbangan Barisan Nasional Sarawak dalam pilihanraya umum yang lepas.

Adakah ini sikap sebenar Putrajaya terhadap Sarawak?

Saturday 22 October 2016

Sarawak memerlukan lebih daripada tiang elektrik untuk transformasi ekonomi


Secara amnya, Belanjawan 2017 gagal memenangi hati anak-anak Sarawak kerana kemungkinan besar Sarawak terpaksa menggunakan rizab kerajaan untuk melaksanakan transformasi ekonomi di luar bandar.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi sendiri mengakui bahawa Kerajaan Negeri Sarawak tidak dapat bergantung dengan Kerajaan Pusat untuk membangunkan ekonomi Sarawak.

Sepatutnya Kerajaan Pusat sudah sedia maklum sentimen anak-anak Sarawak yang dahagakan 'kasih sayang' daripada Kerajaan Pusat setelah sekian lama dianak-tirikan.

Kepimpinan sedia ada sentiasa dipuji sebagai sentiasa prihatin dengan kehendak anak-anak Sarawak.

Tetapi malangnya Belanjawan 2017 tidak memenuhi aspirasi anak-anak Sarawak.

Monday 17 October 2016

Sarawak mesti bertegas kembalikan status asal sebelum pindaan 1976


Saya menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem agar status Sarawak dikembalikan semula kepada status asal - 'founding state'.

Saya merasa amat sedih kerana perlembagaan Malaysia telah dipinda pada tahun 1976 sehingga mengakibatkan status Sarawak menjadi 'salah sebuah negeri dalam Malaysia' dan bukannya 'founding state'.

Saya bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Adenan Satem bahawa ini kedua-dua terma ini mengandungi makna yang berbeza.

Saya merasa amat bersyukur kerana dalam piliharaya yang lepas anak-anak Sarawak telah memberi mandat yang besar kepada parti-parti tempatan untuk memegang tampuk pemerintahan.

Ini membolehkan sebarang usaha untuk memperjuangkan hak-hak anak Sarawak tidak akan disekat oleh pemimpin agung parti dari Malaya.

Friday 14 October 2016

Isu rasuah - PKR lebih 'jujur' daripada Aziz Isa


Tingkah laku Pembantu Khas YB Chong Chieng Jen, Abdul Aziz Isa amat melucukan.

Jelas sekali tindakannya terpancar dari ketidak-matangan dalam memperjuangkan cita-cita politiknya dalam sebuah parti yang berkiblatkan pemimpin-pemimpin agung dari Malaya.

Perkara pokok yang dibicarakan ialah kegagalan salah seorang pemimpin agung parti Malaya menipu rakyat dengan imej sebersih Khalifah Umar Abdul Aziz tercalar gara-gara kemaruk kuasa.

Parti-parti Malaya sering kali memperlekehkan parti-parti tempatan, terutamanya parti-parti yang membentuk Kerajaan Sarawak, kononnya sebagai parti-parti yang korup - tidak menjaga kepentingan anak-anak Sarawak tetapi menjaga poket sendiri.

Tetapi apa yang telah berlaku di Pulau Pinang jelas menunjukkan bahawa selera pimpinan agung mereka di Malaya begitu besar.

Thursday 6 October 2016

Tindakan rejim Israel tahan sukarelawan Malaysia dikecam

Saya sekeras-kerasnya mengecam tindakan rejim Israel menahan misi bantuan kemanusian "Women's Boat to Gaza" dibawah Freedom Flotilla Coalition.

Anggota misi bantuan kemanusian ini, termasuk sukarelawan dari Malaysia, telah ditahan oleh rejim Israel di penghujung bulan September di laut antarabangsa berhampiran dengan pantai Gaza.

Saya menggesa Kerajaan Malaysia melakukan sesuatu untuk melepaskan kesemua sukarelawan.

Tuesday 4 October 2016

Chong perlekehkan semangat Sarawak untuk anak Sarawak


Kenyataan YB Chong Chieng Jen mengenai tindakan wakil rakyat DAP keluar daripada DAP Sabah memberi gambaran yang jelas tentang pendirian YB Chong terhadap semangat Sarawak untuk anak Sarawak.

Walaupun YB Chong mengulas tentang isu politik di Sabah, isu tersebut mempunyai persamaan dengan isu Sarawak untuk anak Sarawak.

Hakikatnya, YB Chong meremehkan sentimen kenegerian di Sabah.

Dan secara tidak langsung beliau meremehkan sentimen Sarawak untuk anak Sarawak!

Amat menyedihkan sekali.

Sunday 2 October 2016

Tolak politik agresif dan provokatif Malaya


Pergelutan diantara penyokong BERSIH dan Baju Merah yang berlaku di Teluk Intan amat mendukacitakan.

Peristiwa itu tidak memeranjatkan memandangkan politik agresif dan provokatif yang menjadi budaya politik di Malaya.

Jelas kelihatan bahawa budaya politik sebegini di Malaya tidak terhad kepada satu golongan sahaja tetapi melibatkan semua pihak.

Friday 30 September 2016

MH17: Pendirian Wan Azizah dan PKR disetujui

Sumber
Saya menyokong gesaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenakan tindakan undang-undang keatas pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 pada Julai 17, 2014.

Kerajaan Malaysia telahpun berjanji akan menuntut keadilan bagi pihak keluarga mangsa pesawat tersebut.

Atas sebab itu ia mesti disegerakan.

Saya juga menyetujui pandangan PKR bahawa dapatan muktamad Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) merupakan bukti kukuh yang membolehkan prosiding kehakiman dimulakan keatas pihak yang bertanggungjawab.
 

Wednesday 28 September 2016

Zahid buktikan bahasa Inggeris penting untuk Malaysia

Keputusan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bahasa Inggeris patut dipuji.

Ia menunjukkan bahawa pengikhtirafan daripada pemimpin nombor dua negara keatas kepentingan Bahasa Inggeris.

Beliau boleh menggunakan Bahasa Malaysia sekiranya beliau mahu - tetapi beliau mengambil keputusan untuk menggunakan Bahasa Inggeris.

Secara tidak langsung, keputusan ini selari dengan keputusan Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sarawak.

Terimakasih Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi.

Sunday 25 September 2016

Sejarah Dinasti Brooke patut diketengahkan

Saya berpendapat ia adalah satu tindakan yang terburu-buru apabila menganggap keputusan untuk membuka Galeri Brooke sebagai pemujaan terhadap kuasa penjajah.

Ia sepatutnya dilihat sebagai satu usaha untuk mengengahkan sejarah Sarawak kepada orang ramai.

Samada sesuatu sejarah itu berwarna hitam ataupun putih, biarlah ianya menjadi satu sandaran ataupun peringatan untuk masa hadapan.
  

Friday 23 September 2016

YB PKR tolak parti malaya demi perjuangan anak negeri

Pembangkang harus mengambil iktibar daripada peristiwa penting di Sabah yang menyaksikan naib presiden PKR keluar daripada parti tersebut atas dasar ingin berjuang diatas platfom parti tempatan Sabah - dan bukannya parti dari Malaya.

Saya akui bahawa saya kurang arif tentang politik di Sabah.

Tapi yang pastinya sentimen kenegerian yang marak di negeri tersebut menyerupai sentimen kenegerian yang ada di Sarawak.

Tindakan tersebut membuktikan bahawa kepentingan anak negeri Sarawak hanya dapat diperjuangkan melalui parti tempatan Sarawak dan bukannya parti Malaya.

Hal ini diakui oleh bekas naib presiden PKR YB Darell Leiking.

Friday 16 September 2016

Salam Hari Malaysia

Selamat Menyambut Hari Malaysia 2016



Satu
Malaysia bumiku Malaysia
Tanah tumpah darah tercinta
Pelbagai warna budaya di dalamnya
Damai, harmoni, permai sentiasa
Di bawah naungan payung mahkota
Kita bangsa Malaysia
Bakal menerajui dunia.

Monday 12 September 2016

Usah gentar dengan PPBM


Pertemuan diantara Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya dilihat sebagai suatu pertemuan yang bersejarah.

Samada ia merupakan satu peristiwa yang bakal mengubah landskap politik nasional, ianya terlalu awal untuk ditafsir sedemikian.

Ia pertemuan yang bersejarah kerana kedua-dua mereka mampu mengenepikan perbalahan peribadi yang telah memberi kesan kepada perubahan landskap politik nasional.

Selangor, Kedah, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang telah jatuh ketangan pihak pembangkang dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Barisan Nasional berjaya mendapatkan semula Kedah, Perak dan Terengganu tetapi undi popular dalam Pilihanraya Umum ke-13 amat jelas sekali menunjukkan bahawa rakyat menyebelahi pakatan pembangkang.

Sunday 4 September 2016

Tahniah Pandelela! Anda kebanggaan semua anak Sarawak!


Dalam keghairahan kita meraikan kejayaan anak Sarawak dalam kejohanan sukan nombor satu dunia, sebaik-baiknya kita hendaklah tidak berlebih-lebihan.

Saya amat khuatir sekiranya keghairahan ini akan menghasilkan bibit-bibit kecil yang kemudiannya mendatangkan masalah kepada Malaysia.

Kita semua sedia maklum, sebelum adanya keamanan yang membolehkan kita tidur dengan lena di malam hari, berjalan dengan hati yang tenang di tempat asing, memandu tanpa rasa gelisah di sepanjang jalan yang gelap gulita, anggota-anggota keselamatan telah terlebih dahulu meletakkan nyawa mereka sebagai taruhan.

Thursday 1 September 2016

Chong cuba tonjol DAP 'lebih-Sarawak' daripada parti lain


Kenyataan negatif YB Chong Chieng Jen mengenai sambutan Hari Kebangsaan di Sarawak memberi gambaran yang jelas bahawa beliau cuba untuk menonjolkan DAP sebagai sebuah parti yang agresif dalam perjuangkan status dan hak Sarawak.

YB Chong sedar bahawa DAP sukar mendapat tempat dihati rakyat Sarawak atas sebab ia adalah sebuah parti dari Malaya.

Beribupejabat di Malaya. 

Saturday 27 August 2016

Tahniah Anak Sarawak! Terimakasih Petronas!


Saya terasa teruja dengan kejayaan Kerajaan Barisan Nasional Sarawak mendapatkan persetujuan PETRONAS dalam aspek pekerjaan di syarikat minyak dan gas tersebut.

Ini disebabkan persetujuan yang telah dicapai melangkaui jangkaan peribadi saya.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anak-anak Sarawak, amnya, dan Kerajaan Barisan Nasional, khasnya, diatas kejayaan ini.

Tuesday 23 August 2016

Mungkin MTUC Sarawak perlu kepimpinan baru?

Saya mungkin boleh menerima pandangan pucuk kepimpinan MTUC nasional yang tidak bersetuju dengan gesaan rakyat Sarawak agar Petronas memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak dalam aspek pekerjaan.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Walau bagaimanapun saya tidak boleh menerima pandangan pucuk kepimpinan MTUC peringkat negeri Sarawak yang tidak bersetuju.

Saya berpendapat mungkin MTUC Sarawak perlu mendapatkan barisan kepimpinan yang sentiasa berpendirian memberi keutamaan kepada anak tempatan dalam aspek pekerjaan di negeri Sarawak.

Friday 19 August 2016

YB Chong hina aspirasi rakyat Sarawak

Pengerusi DAP Sarawak YB Chong Chieng Jen patut meminta maaf kepada rakyat Sarawak kerana memiliki pemikiran yang menjelekkan.

YB Chong Chieng Jen memberi gambaran seolah-olah rakyat Sarawak adalah seperti lembu-lembu yang dicucuk hidung yang tidak mampu untuk berfikir.

Adakah beliau beranggapan keputusan lima Yang Berhormat untuk menyertai PBB bukan aspirasi rakyat Sarawak? (Pautan berkaitan: Selamat Datang ke PBB)

Bukankah mereka telah diberitahu agar mendapatkan maklum balas daripada rakyat Sarawak yang telah mengundi mereka dalam pilihanraya yang lepas?

Sudah terang tanpa bersuluh lagi bahawa YB Chong Chieng Jen sebenarnya cuba untuk memberi gambaran yang buruk mengenai PBB seolah-olah rakyat Sarawak bodoh dan hanya menjadi pak turut sahaja.

Thursday 18 August 2016

Selamat Datang ke PBB


Selamat Datang kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Saya percaya keputusan untuk menyertai PBB atas dasar ia adalah aspirasi rakyat yang dizahirkan melalui tindakan Yang Berhormat-Berhormat.

Saya juga menyambut baik keputusan kepimpinan PBB untuk tidak menutup pintu bagi menghalang kemasukan Yang Berhormat-Yang Berhormat.

Saya yakin keputusan ini amat tepat sekali kerana ia menggambarkan hasrat untuk tidak mengecewakan kehendak rakyat Sarawak yang mahukan wakil rakyat mereka menyertai PBB.

Sekali lagi - saya ucapkan tahniah kepada ADUN Serembu YB Miro Simuh, ADUN Bukit Semuja YB John Ilus, ADUN Mulu YB Datuk Gerawat Jala, ADUN Bekenu YB Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau YB Paulus Palu Gumbang.

Friday 12 August 2016

Tahniah Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diatas pendaftaran sebuah parti baru yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi kukuh dibelakang sistem demokrasi yang sedia ada.

Ini juga menunjukkan bahawa laungan-laungan yang cuba menggambarkan bahawa demokrasi telah mati ataupun tenat di Malaysia adalah berniat jahat untuk memburukkan parti pemerintah - Kerajaan Barisan Nasional.

Sekiranya benar bahawa sistem demokrasi di Malaysia telah mati ataupun tenat sehinggakan Kerajaan Barisan Nasional akan tetap menang tanpa mengira apa jua yang berlaku di Malaysia, pemimpin berpengalaman seperti Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan berusaha untuk menubuhkan sebuah parti baru yang dikatakan mempunyai matlamat untuk menyaingi UMNO secara 'head on'.

Oleh itu, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Thursday 4 August 2016

Sarawak mesti tegas dengan Petronas

Saya menyokong kenyataan Suarah Petroleum Group mengenai tindakan Petronas dalam proses penyusunan semula struktur operasi di Sarawak amat membimbangkan.

Kerajaan Barisan Nasional Sarawak mesti mengambil pendirian yang tegas untuk memastikan kepentingan anak-anak Sarawak terpelihara.

Peratusan yang kurang daripada 50% untuk perlantikkan anak-anak Sarawak ke jawatan-jawatan pengurusan amat mengecewakan.

Sepatutnya Kerajaan Barisan Nasional memberi kata dua kepada Petronas memandangkan industri minyak dan gas amat penting kepada Sarawak.

Mengapa Kerajaan Barisan Nasional Sarawak membiarkan sahaja operasi minyak dan gas di Sarawak dikuasai oleh bukan anak-anak Sarawak?


Wednesday 3 August 2016

YB Baru hendaklah bersangka baik dengan kenyataan KM Sarawak

Kenyataan mutakhir Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai hak-hak Sarawak hendaklah dilihat dari perspektif yang positif.

Sudah menjadi kebiasaan dalam mana-mana perbincangan dan perundingan yang mana pihak yang terbabit akan memberi fokus yang keterlaluan terhadap sesuatu perkara hingga terlepas pandang keperluan untuk mencapai kata sepakat dalam masa terdekat.

Bahkan YB Baru Bian sepatutnya sedia maklum hal ini memandangkan beliau juga ada mempengerusi mesyuarat ataupun perundingan.

Oleh sedemikian, YB Baru Bian tidak sepatutnya memberi gambaran negatif terhadap proses perundingan yang sedang berlaku.

Beliau sepatutnya mengambil pendekatan 'berniat baik' dengan melihat peringatan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai usaha untuk mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam perbincangan tentang perlunya keputusan perundingan dibuat secepat yang mungkin.

Friday 29 July 2016

TAHNIAH YB Abdullah Saidol dan rakan-rakan


Keputusan untuk mengekalkan YB Abdullah Saidol sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak merupakan satu keputusan yang tepat sekali.

Pada pandangan saya, YB Abdullah Saidol telah berjaya memikul tanggungjawab tersebut sejak hari pertama perlantikkannya.

Banyak isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang berjaya ditanganinya dengan bijak.

Atas sebab itu perlantikkan semula beliau sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak tidak memeranjatkan saya.

Bahkan perlantikkan semula beliau adalah suatu perkara yang dijangkakan.

Friday 22 July 2016

Harumnya bau kemerdekaan

Harumnya bau kemerdekaan
Tiada kata-kata yang mampu terjemahkan
Kenikmatan, 'keindahan', kewangian


Bau-bau kemerdekaan


Sarawak Merdeka
Malaya Merdeka


Sama-sama merdeka bentuk Malaysia


Duduk sama rendah
Berdiri sama tinggi


Saturday 16 July 2016

Barisan Nasional Sarawak mesti protes secara formal demi hak-hak Sarawak

Kepimpinan Barisan Nasional Sarawak mesti menyatakan rasa kurang senangnya secara formal diatas keputusan untuk melantik Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan YB Nancy Shukri sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Keputusan ini dilihat sebagai tidak wajar memandangkan ia boleh memberi kesan yang negatif keatas proses rundingan untuk mendapatkan semula hak-hak negeri Sarawak.

Sebagai sebagai menteri bertanggungjawab ke atas BHEUU, YB Nancy Shukri boleh memainkan peranan yang positif dalam memastikan proses perundingan akan menghasilkan keputusan yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak yang telah mengundi Barisan Nasional dalam pilihanraya umum dan negeri yang lepas - iaitu kembalikan hak-hak negeri Sarawak.

Sekiranya kepimpinan Barisan Nasional pusat masih beranggapan bahawa Sarawak adalah 'simpanan tetap' Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang akan datang, maka YB Nancy Shukri hendaklah diletakkan semula sebagai sebagai menteri bertanggungjawab ke atas BHEUU.

Saya juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk menggesa kepimpinan Barisan Nasional Sarawak agar memberi tarikh-tarikh keramat untuk proses perundingan mencapai kata sepakat.

Wednesday 13 July 2016

Adakah benar hak Sarawak lebih penting daripada status Sarawak sebagai 'wilayah'?

Ia adalah satu diskusi yang menarik tentang bentuk (form) dan isi (substance).

Yang manakah lebih penting - dalam konteks isu politik semasa?

Dalam keghairahan Kerajaan Barisan Nasional Sarawak berusaha untuk mendapatkan hak-hak negeri Sarawak, ada usaha untuk meletakkan Sarawak sebagai sebuah 'wilayah' yang setaraf dengan Malaya.

Ini telah menyebabkan ada pihak yang merasa kurang senang kerana beranggapan ia akan mengganggu usaha untuk mendapatkan hak-hak negeri.

Bahkan ada yang beranggapan hak-hak negeri Sarawak (substance) lebih penting daripada status 'wilayah' (form).

Tuesday 5 July 2016

Salam Syawal

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri

Alhamdulillah,
Indah fajar Aidilfitri,
Tersuluh tenangnya perasaan,
Atas kesempatan,
Ramadhan semalam.


Salam kemenangan,
Buat teman dan taulan.


Tuesday 28 June 2016

Perlukah anak Sarawak bangkit seperti Sabah?

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Rohani Karim, Nancy Shukri dan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana dikekalkan dalam Kabinet Menteri Kerajaan Persekutuan.

Keputusan untuk mengekalkan pemimpin-pemimpin Sarawak ini menunjukkan bahawa mereka telah berjaya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.

Tahniah sekali lagi.

Merujuk kepada keputusan untuk tidak mengambil pemimpin Sarawak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Douglas Uggah, saya berpandangan ianya bukanlah satu keputusan yang BIJAK memandangkan ia dibuat dalam keadaan politik nasional yang masih tidak menentu.

Siapa yang menjangka ahli-ahli UMNO di Sabah memberontak (apabila pemimpin mereka di gantung keahliannya) walaupun setelah UMNO berjaya memenangi pilihanraya kecil di Malaya?

Sunday 26 June 2016

Pemergian yang diratapi dan 'disyukuri'

إِنَّا للهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ‎

Ya ALLAH, masukkanlah dia ke dalam kelompok orang-orang yang saleh, dan jadikanlah catatan amalannya di 'Illiyyin, dan jangalah Engkau halangi pahala kematiannya dan jangan pula Engkau jadikan kematiannya fitnah bagi kami. (hadis)

الفَاتِحَة

الفَاتِحَة

الفَاتِحَة

Dalam kegirangan berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan yang dibukakan ALLAH swt pintu-pintu syurga, angin kesedihan berserta air mata menerjah keluar dari bola mata meratapi pemergian insan-insan yang istimewa yang gagah berdiri memperjuangkan prinsip kehidupan yang lahir dari hati yang murni.

Angin-angin kesedihan kuat membisik hati agar meratapi pemergian yang tak akan kembali.

Wednesday 22 June 2016

Keadilan segera untuk tangani jari-jari nakal yang cuba tangguk di air keruh dalam tragedi berdarah di Miri

Keadilan mengkehendaki kebenaran diperlihatkan dengan segara bagi tujuan memadamkan kekotoran-kekotoran yang dihasilkan oleh jari-jari hitam di laman sosial yang cuba untuk memberi gambaran nakal keatas tragedi berdarah di Miri.

Situasi murung dan sedih ahli keluarga mendiang Bill Kayong sewajarnya jangan dilanyak dengan cerita-cerita yang berbau politik yang seolah-olah cuba untuk meniup api kemarahan dikalangan ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang.

Atas sebab ini, saya mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk mengambil kesempatan dari tragedi oleh mana-mana pihak untuk memburukkan pihak yang lain tanpa terlebih dahulu mendengar keputusan siasatan oleh pihak berkuasa.

Saya juga mengutuk sekeras-kerasnya tragedi malang yang menimpa mendiang Bill Kayong - dan saya amat berharap pihak yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan dengan segera, dan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan hina tersebut.

Saya amat berharap pihak polis akan berusaha keras untuk memastikan insiden seumpama itu tidak akan berlaku lagi di Bumi Kenyalang yang terkenal dengan toleransi dikalangan pelbagai kaum, agama dan pandangan politik.

Thursday 16 June 2016

Projek Lebuhraya Pan Borneo dibiayai oleh Putrajaya atau Sarawak?

Putrajaya mesti memberi penerangan yang menyakinkan rakyat Sarawak berkenaan pembiayaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Rata-rata rakyat Sarawak beranggapan bahawa bajet untuk Lebuhraya Pan Borneo berasingan daripada bajet pembangunan yang lain.

Atas sebab inilah, rata-rata rakyat Sarawak gembira dengan pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan projek tersebut.

Malangnya kini rakyat Sarawak mula tertanya-tanya - benarkah Lebuhraya Pan Borneo akan dibina dengan menggunakan bajet yang khusus untuk projek tersebut tanpa mengganggu bajet untuk pembangunan lain.

Secara peribadi saya merasa terkilan selepas membaca kenyataan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika beliau membuat ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam.

Monday 13 June 2016

Putrajaya perlu tunai janji kepada rakyat Sarawak

Saranan ADUN N42 Semop YB Abdullah Saidol yang mengesa pihak Kerajaan Persekutuan di Putrajaya agar segera menunaikan janji-janji mereka untuk meningkatkan kemudahan asas serta menaiktarafkan pasarana di kawasan luar bandar amat tepat sekali.

Saya sangat bersetuju dan menyokong penuh saranan ini walaupun saya amat yakin bahawa janji-janji ini akan ditunaikan sebagaimana yakinnya Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ini adalah kerana tidak menjadi satu kesalahan untuk sentiasa mengingatkan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa tentang janji-janji yang perlu ditunaikan.

Kerajaan Barisan Nasional Sarawak amat memerlukan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri Sarawak.

Oleh itu, diharapkan kepimpinan Barisan Nasional di Putra Jaya yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat melakukan sesuatu untuk menyegerakan penunaian janji-janji yang telah dilakukan sebelum ini.


Sunday 5 June 2016

Salam Ramadhan al-Mubarak

Ramadhan yang dirindukan,
Menyuci kekhilafan,
Jernih berwarna taqwa,
Bertandang seketika,
Meniup lembut tirai perasaan,
Membisik ketenangan.

Longlai jiwa yang sarat dosa,
Menyandarkan doa dan hasrat,
Berteduh dipayung Rahmat,
Bermujahadah dalam sepi sebuah tangisan..
Berderai keinsafan.

Wednesday 1 June 2016

Mungkin Ketua Dewan Ulama PAS patut disekolahkan di Sarawak untuk jadi Muslim sejati

Muslim Sarawak tak berfikiran kolot seperti PAS.

Tuduhan bahawa Muslim Sarawak tidak mempraktikkan Islam sebenar adalah satu pertuduhan yang berniat jahat.

Bahkan ia menunjukkan bahawa Ketua Dewan Ulama PAS Mahfodz Mohamed seperti katak dibawah tempurung.

Kata-kata penghinaan ini juga menunjukkan bahawa Mahfodz kecewa dengan pendirian Muslim Sarawak yang tidak terikut-ikut dengan pendekatan yang dibawa oleh PAS.

Pendekatan yang menggunakan Islam untuk mencapai cita-cita politik semata-mata.

Monday 30 May 2016

Selamat Hari Gawai 2016

Selamat Hari Gawai 2016 ngagai semua bala kaban belayan, bala bakih, bala menyadek, bala ayak, bala Ibuk,  bala betunggal, bala akik bala inek bala mentua.

Kelebih agi ngagai Bala Raban Bansa Tuai Iban Lundu enggau semua bala Dayak ba serata menoa Sarawak ia ka nyambut Gawai Dayak baka ka taun tu.

Aku  besampi ka kitai semua semampai bidik lansik, semakin kaya raja, seruran lantang senang, selalu gerai nyamai, bulih tuah bulih limpah, bulih jereki, bulih reta bulih tengkira, majak bepenemu,  majak berserakup, maju ba tahun baru ke datai tu.
Laban aku ngasai ka diri ka selalu salah jaku,  kurang penyiru.

Inggar nyawa enda nyamai didinga, kelanjur jari, ngemedis ka ati bala kita.


Saturday 28 May 2016

Perlukah ada nada ugutan?

Kegusaran keatas tindakan Ahli Yang Berhormat  yang berusaha untuk menyertai PBB amat difahami.

Kemasukan mereka akan menjadikan PBB mampu untuk mentadbir Sarawak tanpa bantuan parti-parti lain.

Dan ini akan membuatkan parti-parti lain merasakan mereka tidak releven.

Perkara yang saya ingin sentuh disini ialah bukannya pandangan bahawa parti-parti lain dalam Barisan Nasional Sarawak akan menjadi tidak releven tetapi mengenai nada angkuh sesetengah pemimpin dalam menyuarakan pandangan mereka.

Adakah mereka beranggapan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berjaya mempamerkan mutu kepimpinan yang tinggi untuk memenangi pilihanraya negeri yang lepas dengan secara tidak sengaja?


Friday 27 May 2016

Politik agama PAS menjengkelkan rakyat Sarawak

Pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud dalam Parlimen baru-baru ini mengingatkan saya dengan peperangan dalam sejarah Islam yang diriwayatkan mushaf-mushaf al-Quran diikat dihujung tombak demi mencapai objektif yang dikehendaki.

Mungkin atas sebab hendak memenangi hati pengundi Muslim dalam pilihanraya kecil yang akan datang, PAS mengambil keputusan untuk membentangkan RUU hudud dalam Parlimen.

Entah sampai bila PAS akan memperdagangkan agama Islam?!

Memang menjadi kewajipan orang Islam untuk menyetujui perlaksanaan hukum hudud.

Namun begitu, bila dan bagaimana hukum tersebut hendak dilaksanakan, ia menjadi persoalan dalam umat Islam sejak dari dulu sehingga sekarang.


Thursday 26 May 2016

Kemasukkan dalam PBB patut diraikan sekiranya...

Kepimpinan PBB harus melihat perkembangan politik terkini dari perspektif manifesto Barisan Nasional Sarawak.

Sekiranya ia akan membantu melaksanakan butiran-butiran dalam manifesto, maka permohonan untuk menyertai PBB patut diterima dengan hati yang terbuka.

Tetapi sekiranya ia memudaratkan manifesto, ia patut ditolak.

Saya percaya kepimpinan PBB mampu mengambil keputusan yang akhirnya akan membantu Kerajaan Barisan Nasional Sarawak, yang mana PBB adalah parti tulang belakang kerajaan, melaksana polisi-polisi ataupun program-program kerajaan untuk menepati janji-janjinya.

Oleh yang sedemikian, parti-parti komponen Barisan Nasional Sarawak hendaklah bersikap terbuka dalam hal ini.

Friday 20 May 2016

Selamat Berjaya kepada Kabinet Negeri Sarawak

Persoalan tentang anggota Kabinet Negeri Sarawak akhirnya terungkai dengan pengumuman senarai nama menteri muda hari ini.

Terlalu awal untuk memberi pandangan terhadap keberkesanan Kabinet Negeri Sarawak memandangkan nama-nama menteri muda baharu sahaja diumum.

Namun begitu saya amat yakin dengan kesungguhan Kabinet Negeri Sarawak untuk berfungsi dengan baik untuk memajukan Sarawak.

Saya juga amat yakin barisan kepimpinan dalam Kerajaan Negeri yang sedia ada mampu untuk merealisasikan impian rakyat yang telah memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk mentadbir Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi.

Saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah semua yang dilantik untuk berada dalam Kabinet Negeri Sarawak yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.


Friday 13 May 2016

Kebengangan Yang Bodoh

Sudah berkali-kali diingatkan bahawa pilihanraya di Sarawak adalah pilihanraya NEGERI Sarawak dan bukannya UMUM.

Sudah berkali-kali diingatkan bahawa yang hendak mendapatkan mandat pemerintahan ialah Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem; dan bukannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sudah berkali-kali diingatkan bahawa Barisan Nasional SARAWAK yang bertanding dan bukannya Barisan Nasional MALAYSIA.

Susah sangatkah nak faham perkara yang mudah ini?

Ini menunjukkan rakyat Sarawak lebih matang berpolitik berbanding dengan Malaya.

Tuesday 10 May 2016

Adakah pembangkang Sarawak kurang akal?

Setelah membaca komen-komen pembangkang mengenai kekalahan mereka, saya terfikir - adakah pembangkang Sarawak layak untuk menjadi wakil rakyat?

Apa yang terang tanpa bersuluh ialah faktor Adenan adalah faktor yang amat kuat sekali dalam pilihanraya negeri yang lepas.

Rata-rata rakyat Sarawak yakin Barisan Nasional Sarawak, dibawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, akan memenangi pilihanraya negeri dengan selesa.

Tetapi mengapa pihak pembangkang gagal menyedari ini?

Adakah mereka, ... 'terencat akal'?


Sunday 8 May 2016

TAHNIAH ! TAHNIAH ! TAHNIAH !

TAHNIAH kepada Penyokong Barisan Nasional

Anda semua telah membantu Barisan Nasional untuk mendapatkan kemenangan yang bergaya!

TAHNIAH ! TAHNIAH ! TAHNIAH !

Kepada semua wakil rakyat, sila penuhi apa jua janji-janji yang telah diberikan.

Ingat! Janji mesti ditunaikan!


Thursday 5 May 2016

DAPKR bersengkokol dengan Sarawak Report ?

Salah tetap Salah.

Ini pendirian saya.

Walau bagaimanapun, bukan niat saya hendak mengupas samada isu SUPP menerima wang itu salah ataupun tidak.

Biarlah hakim mahkamah menentukan.

Kepercayaan telah diberikan kepada sistem kehakiman untuk menghakimi kes liwat Anwar Ibrahim - dan perkara yang sama mesti juga diberikan kepada kes-kes lain.

Yang ingin saya sentuh disini ialah 'kerjasama' diantara DAPKR & Sarawak Report.

Telahan saya ternyata benar apabila saya mengandaikan isu SUPP menerima wang akan tiba-tiba hangat ketika kempen pilihanraya.

Sejak hari penamaan calon, saya asyik tertunggu-tunggu bilakah DAPKR akan menggunakan isu ini untuk membunuh SUPP.

Tetapi saya terperanjat apabila peranan untuk memanaskan isu ini tidak dibuat oleh DAPKR tetapi Sarawak Report.

Persoalannya ialah mengapa Sarawak Report menunggu disaat-saat akhir sebelum mengundi untuk menunjukkan bukti?

Sekiranya ia adalah strategi Sarawak Report, maka ada logiknya mengapa isu ini tak pernah 'panas panas panas panas panas' setelah didedahkan.

Persoalan seterusnya ialah - mengapa DAPKR menyerahkan tugas menyerang SUPP kepada orang luar?

Apa habuan yang telah dijanjikan?

Tepuk dada tanya selera.

Sunday 1 May 2016

PKR DAP PAS akan jadikan GST sebagai Kpg Buah Pala II

Pembangkang mungkin beranggapan mereka telah menemui satu isu yang mempunyai potensi yang besar untuk 'membunuh' Kerajaan Barisan Nasional.

Memang diakui bahawa rata-rata rakyat  Malaysia, termasuk Sarawak, mengeluh apabila topik perbualan adalah GST.

Dimana-mana harga barangan dikatakan naik disebabkan GST!

Maka, perkara yang paling logik untuk dilakukan ialah dengan membuang GST!

Tetapi selepas dibuang GST, apa yang perlu dilakukan untuk mengisi kantung kerajaan?


Friday 29 April 2016

Undi BN sebagai tanda terimakasih

Orang berbudi, kita berbahasa
Orang memberi, kita merasa

Saya merasakan tidak keterlaluan jika undi kepada Barisan Nasional Sarawak dalam pilihanraya negeri ini dilihat sebagai expresi rasa berterimakasih kepada kerajaan Barisan Nasional Sarawak.

Akan pasti ada suara-suara yang lantang berkata sudah menjadi tanggungjawab  kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Oleh itu, hujah mereka lagi, Barisan Nasional Sarawak tidak perlu diucapkan terimakasih.

Hujah tersebut menafikan hakikat bahawa mana-mana kerajaan didunia ini mempunyai pilihan sama ada hendak menjadi sebuah kerajaan yang bertangungjawab ataupun tidak.


Wednesday 27 April 2016

Sarawak Negeri Sifar-Pembangkang 8Mei16

Sarawak mampu menjadi sebuah negeri yang berstatus sifar-pembangkang menjelang Mei 08 nanti.

Ini bukan angan-angan Mat Jenin kerana angan-angan ini berpijak di bumi yang nyata.

Barisan Nasional Sarawak mempunyai 'senjata-senjata' ampuh yang mampu menyahkan pembangkang dari bumi Sarawak.

Pertama, Sarawak ada Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Beliau seorang pemimpin utama Sarawak yang amat disenangi oleh rakyat Sarawak.

Orang Malaya kempen di Sarawak - Sila Jaga Adab

Saya menyeru parti-parti yang beribu pejabat di Malaya agar menjaga tingkahlaku  ahli-ahli parti yang diterbangkan dari Malaya untuk berkempen di Sarawak.

Seruan ini dibuat atas sebab untuk mengelakkan sentimen SARAWAK FOR SARAWAKIAN disemarakkan dengan api kebencian yang melampau terhadap orang Malaya.

Mereka yang datang ke Sarawak atas sebab berkempen akhirnya akan kembali semula ke Malaya.

Tetapi ramai orang Malaya yang tidak akan menyusuli mereka untuk kembali ke Malaya atas sebab pekerjaan ataupun sudah menetap di Sarawak atas sebab perkahwinan.

Tindak-tanduk agresif ahli-ahli yang didatangkan dari Malaya hanya akan membuat perasaan meluat dan benci terhadap orang Malaya semakin kuat.

Tuesday 26 April 2016

Campurtangan Malaya dalam pertikaian kerusi DAP dan PKR buktikan Baru dan Chong dibawah telunjuk Malaya

Campurtangan pemimpin Malaya DAP dan PKR dalam menangani perbalahan pembahagian kerusi-kerusi menunjukkan bahawa kedua-dua parti dibawah telunjuk Malaya.

Sekiranya benar kedua-dua parti tersebut bebas untuk berbuat apa sahaja, Lim Guan Eng dan Azmin Ali tidak akan campur untuk menyelesaikan perbalahan tersebut.

Sudah terbukti dengan jelas bahawa Baru Bian dan Chong Chieng Jen sebenarnya bermain sandiwara apabila memberitahu rakyat Sarawak bahawa mereka bebas untuk mengambil apa jua keputusan yang berkaitan dengan negeri Sarawak.

Rakyat Sarawak sepatutnya sedar bahawa Sarawak tidak akan mempunyai autonomi seperti sekarang sekiranya Sarawak dibawah pemerintahan parti-parti yang beribupejabat di Semenanjung.

Adakah anak-anak Sarawak yang menyokong kedua-dua parti tersebut tidak malu dengan perbuatan pemimpin-pemimpin Malaya yang mengarahkan anak-anak Sarawak untuk bersetuju keatas sesuatu yang sepatutnya diputuskan sendiri oleh anak-anak Sarawak?


Tolak pembangkang demi kesejahteraan Sarawak

Sarawak akan berada dalam kancah kekacauan sekiranya pembangkang diberi ruang untuk memenangi mana-mana kerusi dalam pilihanraya negeri ini.

Mereka tidak ada kematangan politik untuk menangani pertelingkahan politik.

Bagi mereka, konfrontasi secara terbuka ialah jalan penyelesaian yang utama.

Sama ada ia baik untuk rakyat ataupun tidak, itu tidak penting bagi mereka.

Saya menyeru rakyat Sarawak agar menolak calon-calon dari parti pembangkang demi kesejahteraan negeri Sarawak.

Manifesto BN 2016

1.Menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya.

2.Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita.

3.Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak.

4.Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka

5.Melindungi dan memelihara alam semula jadi

Wednesday 20 April 2016

Terimakasih Guan Eng kerana puji pentadbiran Taib

Pembohongan DAP akhirnya terbukti apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memuji pentadbiran bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Selama ini rakyat Sarawak, khasnya masyarakat Cina, ditiup dengan api kebencian terhadap Pehin Sri Abdul Taib Mahmud seolah-olah beliau tidak mempunyai sebarang jasa kepada Sarawak.

Tapi ternyata DAP berbohong dan menipu rakyat Sarawak selama ini.

Kini DAP sedang berusaha untuk menipu rakyat Sarawak sekali lagi dengan membuat dakwaan-dakwaan negatif  terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Rata-rata mengetahui bahawa Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah banyak melakukan perubahan yang positif walaupun hanya memegang jawatan Ketua Menteri dalam tempoh yang singkat.

Tuesday 19 April 2016

DAP tidak ambil peduli keselamatan negeri dan negara

Bekas Ahli DUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen telah membuat saranan yang tidak masuk akal apabila beliau mencadangkan agar anggota-anggota keselamatan dari Semenanjung yang bekerja di Sarawak tidak dibenarkan mengundi.

Walaupun pada pandangan kasar, cadangan beliau nampak bernas tetapi dalam jangka masa panjang ia boleh mendatangkan bahaya kepada keamanan negara.

Adakah bekas Ahli DUN Kota Sentosa sedar akan bahaya yang bakal muncul sekiranya saranan beliau digunapakai?

Ataupun beliau memang sedar tetapi disebabkan terlalu obses untuk menang, beliau sanggup berbuat apa sahaja – termasuk mengancam keselamatan negara?

Saranan agar anggota-anggota keselamatan yang bukan berasal dari Sarawak tetapi bekerja di Sarawak tidak dibenarkan mengundi sebenar boleh menggugat perpaduan dikalangan anggota-anggota keselamatan.

Sunday 17 April 2016

Milton Foo sanggup kritik KM secara terbuka untuk raih undi

Para penyokong Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem patut mempertimbangkan semula sokongan mereka kepada mana-mana calon SUPP, termasuk presiden SUPP, sehinggalah bakal calon SUPP di Pending, Milton Foo, meminta maaf atas sebab keceluparannya.

Tindakan Milton Foo menggunakan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai 'punching bag' untuk mendapatkan sokongan para pengundi amat menjelekkan sekali.

Beliau cuba untuk memberi gambaran bahawa beliau lebih berani dan agresif berbanding dengan bakal calon DAP di Pending.

Mainan politik seumpama ini mengjengkelkan sekali.

Demi untuk memenangi kerusi Pending, Milton Foo berusaha untuk menyaingi DAP dalam permainan 'memperlekehkan-Adenan'.

Cabaran untuk parti semenanjung bertapak di Sarawak

Setiap kali pilihanraya negeri ataupun umum akan diadakan di Sarawak, akan ada sungutan ataupun kecaman dari pihak pembangkang terhadap hak kerajaan negeri keatas imigresen.

Sepatutnya, pihak pembangkang menggunakan pilihanraya ini sebagai platfom untuk memansuhkan hak ini.

Atas dasar itu, saya ingin mencabar mana-mana parti pembangkang dari Semenanjung yang bertapak di Sarawak agar memperjuangkan pemansuhan hak autonomi ini.

Anak-anak Sarawak, tanpa mengira ideologi politik, seharusnya menyokong kewujudan hak autonomi ini.

Mungkin anak-anak Sarawak, yang memuja parti-parti dari Semenanjung yang bertapak di sini, merasa kurang senang dengan keputusan kerajaan negeri Sarawak menghalang kemasukkan beberapa orang pemimpin Semenanjung pujaan mereka.