Thursday 5 May 2011

Jangan cuba wujud kumpulan penyokong Fadillah, Taib: Daud

by Mark Luna. Posted on May 5, 2011, Thursday

Tindakan sedemikian dikhuatiri akan mendorong perpecahan parti

KUCHING: Dakwaan perpecahan dalam Pemuda PBB tidak wajar dijadikan sebagai alat untuk melabelkan wujud kumpulan penyokong Ketua Pemuda Datuk Fadillah Yusof dan kumpulan penyokong Presiden Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam parti tersebut.

Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman berkata, tindakan sedemikian juga dikhuatiri akan mendorong ke arah perpecahan di kalangan ahli dan sekali gus menyebabkan parti menuju kehancuran.

“Janganlah kita memecahbelahkan (dengan melabelkan) ada yang sokong Fadillah ada yang sokong Ketua Menteri.

Ketua Menteri terlalu tinggi. Fadillah terlalu kecil untuk dibandingkan dengan YAB Ketua Menteri,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan wujud perpecahan di kalangan ahli-ahli Pemuda PBB, di ibu pejabat parti itu di sini, semalam.

Isu itu timbul apabila Fadillah gagal mengeluarkan kenyataan mempertahankan Taib ketika dikritik oleh Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin komponen BN di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Kenyataan yang dikeluarkan selepas BN mengekalkan kemenangan pada pilihan raya negeri pada 16 September lepas, bertujuan ‘menggesa’ Taib berundur daripada jawatan Ketua Menteri.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata lagi, ahli dan para pemimpin PBB wajar mempertahankan Taib apabila dikecam pihak luar yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan politik dan kepimpinan Sarawak.

Beliau bagaimanapun berkata, Fadillah dipercayai tidak mempunyai niat untuk memecahbelahkan parti.

“Saya kenal dengan Fadillah kerana beliau merupakan anak didik saya,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemangku Ketua Pemuda PBB Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, tidak wujud perpecahan dalam Pemuda.

Abdul Karim yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri turut menyifatkan situasi itu sebagai pertelingkahan biasa dan salah faham dan tidak ada unsur-unsur perpecahan.

“Memang di mana-mana tempat mesti ada orang yang tidak berpuas hati, tetapi nak mengatakan sokongan terhadap Ketua Pemuda tidak menyeluruh, itu tidak tepat.

“Saya berani mengatakan bahawa sokongan kepada Ketua Pemuda parti PBB masih kuat dan saya juga tidak ada masalah untuk menyokong beliau,” katanya yang juga ADUN Asajaya.
  

No comments:

Post a Comment