Sunday, 24 April 2011

Parti komponen perlu teliti kedudukan tawan semula sokongan kaum Cina

Berita Harian
24/04/2011

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pandi Suhaili meminta Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu supaya tidak menyalahkan Barisan Nasional (BN) Sarawak berhubung keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini, semata-mata untuk menawan undi kaum Cina di Semenanjung. Pandi berkata, jika MCA terus mengikut rentak DAP, parti itu berdepan laluan sukar meraih kembali sokongan pengundi Cina. 

“DAP berada di depan beberapa langkah daripada MCA dalam beberapa isu, menyebabkan mereka terpaksa mengikut rentak DAP dan jika ini berterusan, sukar untuk meyakinkan kaum Cina di Semenanjung MCA lebih baik daripada DAP,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Gan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang mendesak Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur selepas keputusan pilihan raya negeri 16 April lalu menunjukkan kemerosotan sokongan terhadap BN terutama daripada kaum Cina. 

Pandi berkata, MCA harus meneliti semula kedudukannya sekiranya parti itu masih ditolak kaum Cina pada pilihan raya umum akan datang. 

Katanya, tindakan parti politik terlalu cuba membuktikan siapa yang terbaik antara mereka dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat adalah permainan politik berbahaya. 

“Ada masanya, bila kita terlalu asyik mahu mengalahkan pembangkang, kita terlupa kita menyakitkan hati rakan dalam BN. Ini tidak patut berlaku kerana kita bukan musuh,” katanya. 

Sementara itu, Pandi meminta Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin lebih sensitif terhadap landskap politik di Sarawak dan menghormati komponen BN negeri. 

Katanya, Khairy tidak seharusnya memandang rendah pencapaian BN negeri yang bekerja keras meraih sokongan pengundi sehingga BN berjaya mempertahankan Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 lalu. 

“Kita bukan saja mendapat majoriti dua pertiga tetapi majoriti tiga perempat dengan memenangi 55 kerusi. Ia adalah kejayaan besar BN negeri serta mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya yang mendakwa Khairy dalam laman Twitternya pada minggu lalu menyifatkan kehilangan beberapa kerusi di Sarawak sebagai kekalahan terbesar dialami BN.
 

No comments:

Post a Comment