Tuesday 28 August 2018

Gen Y Melayu/Melanau payah memiliki rumah

28hb Ogos 2018


KUCHING: Kepayahan memiliki rumah yang dihadapi oleh kalangan anak muda Melayu/Melanau di seluruh Sarawak mesti ditangani dengan cepat dan berkesan oleh kerajaan negeri.

Ahli majlis tertinggi Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pandi Suhaili (gambar) menegaskan kerajaan negeri boleh kehilangan kepercayaan daripada golongan tersebut jika membuat apa-apa pengumuman untuk menangani isu itu pada saat terakhir sebelum pilihan raya negeri akan datang.

"Tiada sesiapa akan memandang serius tindakan saat terakhir. Malah kanak-kanak sekarang juga tahu itu cuma gimik pilihan raya," katanya ketika ditemu-bual Utusan Borneo, hari ini.

Pandi berkata kerajaan negeri telah memberi respon kepada seruan masyarakat Dayak untuk mengiktiraf isu Pemakai Menoa Pulau Galau (PMPG), dan ia hanya adil bagi Melayu/Melanau jika isu mereka itu turut diambil berat.

Tidak seperti Dayak, komuniti Melayu/Melanau kini hampir hilang semua tanah apabila semua rizab kampung mereka telah diterokai oleh syarikat swasta (dengan bantuan daripada individu tertentu) untuk membuka ladang kelapa sawit.

"Kerajaan sentiasa boleh mengambil balik tanah yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini, membayar balik premium kepada pemegang pajakan sementara, dan selepas itu semua tanah ini tidak boleh lagi diberikan kepada syarikat-syarikat ini selama-lamanya," tegasnya.

Pandi turut menyuarakan kesedihannya di mana banyak keluarga komuniti tersebut, sedang tinggal di dalam satu rumah kerana tidak mampu untuk membeli rumah.

Menurutnya, harga rumah yang mencecah sehingga RM500,000 seunit di bandar besar seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu adalah di luar kemampuan golongan generasi muda.

"Tidak ada cara untuk keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM5,000 sebulan mampu membeli rumah seperti itu. 

“Saya tidak malu untuk mengatakan orang Melayu/Melanau tidak mampu untuk membeli rumah bandar, terutama di kampung halaman saya, Bintulu," keluhnya sambil menambah ia ditambah lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pandi mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya 25 ‘point’ bagi setiap keluarga atau satu ekar yang dibahagikan kepada empat, memandangkan langkah itu akan membolehkan keluarga mengembangkan dan berkongsi plot itu sekurang-kurangnya 20 tahun sebelum kerajaan negeri boleh mempertimbangkan langkah seterusnya.

"Pada masa lalu mereka hanya memberikan 10 ‘point’, selepas 5 tahun masalah yang sama menghantui kami. Dengan memberi mereka 25 ‘point’, anak-anak boleh membina rumah kecil berhampiran rumah ibu bapa mereka," jelasnya.

Sementara itu, Pandi mengalu-alukan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini bahawa semua projek pembesaran kampung akan dibuat secara sistematik dengan jalan yang betul, sistem perparitan dan semua infrastruktur asas.

"Kerajaan negeri mempunyai wang dan rakyat berhak menerima wang itu untuk kebajikan mereka. Lagipun, mereka adalah penyokong paling setia kerajaan ini," tegasnya.

Beliau juga berkata Jabatan Tanah dan Survei dengan mudah boleh mengenal pasti tapak yang paling sesuai dengan keutamaan yang diberikan kepada penduduk kampung, dan memperoleh tanah yang sudah diberikan kepada syarikat-syarikat perladangan sekiranya keperluan itu timbul.

"Selesaikan masalah orang. Cari penyelesaian terbaik secepat mungkin. Sebagai parti pemerintah, adalah tanggungjawab kita untuk membantu rakyat. Sekiranya hak-hak Dayak ke atas PMPG telah diiktiraf dengan sewajarnya, orang Melayu/Melanau juga berhak mendapat tanah berhampiran untuk keperluan mereka.

"Kita tidak boleh mengambil kesempatan terhadap kesetiaan Melayu/Melanau dengan mengabaikan mereka apabila mereka memerlukan. Laksanakan sepenuhnya kesetiaan Melayu/Melanau untuk membina masyarakat yang makmur dan harmoni, dan mereka pasti memberikan sokongan sepenuhnya kepada pemerintah yang melayani mereka," katanya.

Pandi menegaskan bahawa masalah ini sangat serius di seluruh Sarawak sekarang, dan untuk menanganinya ia tidak memerlukan berjuta-juta ekar.

"Dari setiap 100 ekar, kita dapat menyediakan rumah kepada 400 keluarga dengan kemudahan jalan yang baik, saliran yang betul, sekolah dan rumah ibadat. Kita ada wang, belanjakan wang untuk kebaikan rakyat kita," katanya.

Pandi menegaskan bahawa kompleks perumahan kos rendah, terutama bangunan bertingkat tinggi hanya akan menawarkan penyelesaian jangka pendek kepada rumah perumahan tetapi akan menjadi masalah besar bagi Sarawak.

"Flat kos rendah dalam situasi seperti ini akan menyebabkan banyak isu sosial," katanya sambil menambah bahawa senario sedemikian boleh didapati di banyak bahagian negeri ini.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan tertinggi Sarawak bahawa Gen Y akan menjadi ‘kingmaker’ dalam pilihan raya negeri akan datang.

"Sekarang adalah masa terbaik untuk menunjukkan kepada Gen Y yang kita mengambil berat kepada mereka," katanya sambil menambah bahawa hidup akan menjadi lebih sukar tidak lama lagi apabila harga barang meningkat dengan pelaksanaan semula SST pada 1 September. 

No comments:

Post a Comment