Tuesday 2 October 2012

Tun Salahuddin dan isteri meriahkan Festival Layang-layang

Utusan Borneo - Posted on October 1, 2012, Monday



BINTULU: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah meluangkan masa menyaksikan persembahan layang-layang sempena Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu 2012 di tapak Lapangan Terbang Lama di sini, petang kelmarin.

Mengiringi Yang di-Pertua Negeri ialah Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak Datuk Talib Zulpilip dan Datin Dr Zaliha Abdullah, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Sri Celestine Ujang Jilan dan isteri Datin Sri Elizabeth Pawa, Residen Bintulu Muhamad Yakup Kari dan Pengurus Besar BDA Datu Mohidin Ishak.

Persembahan layang-layang yang disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri ialah `Stunt Kite Dual Line’ dan `Revolution Kite Dual Line’ yang dipersembahkan oleh peserta antarabangsa dan tempatan.

Tetamu kehormat itu turut beramah mesra dengan peserta antarabangsa termasuk menyaksikan demonstrasi membuat wau bulan oleh peserta dari Terengganu.

Yang di-Pertua Negeri turut diberi penghormatan menyampaikan piala kepada pasukan SSKC Delta Force dari Jepun yang muncul juara keseluruhan Kejohanan Layang–layang Sukan Asia Pasifik kali pertama (Dual Line) yang julung kalinya diadakan di luar negara Jepun dan disertai lapan pasukan.

Seramai 94 peserta dari 21 negara termasuk Malaysia mengambil bahagian dalam acara lima hari itu yang bermula pada 26 September dan berakhir semalam.

Aktiviti lain diadakan sepanjang festival itu seperti persembahan layang-layang moden dan tradisional peringkat kebangsaan, layang-layang besar oleh peserta antarabangsa dan kebangsaan, bengkel dan demonstrasi membuat wau, pertandingan memasak masakan tradisional, melukis dan mewarna untuk kanak-kanak, karaoke dan kebudayaan, nyanyian, persembahan menerbangkan layang-layang pada waktu malam, Layang-Layang Naga Tertutup Bintulu dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment