Tuesday, 1 October 2013

Protes hambar bukti pembangkang tiada tempat di Sarawak


KUCHING: Sambutan hambar terhadap protes aman kenaikan harga minyak menunjukkan pembangkang tidak mendapat tempat di Sarawak, kata Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili.

Menurutnya rata-rata rakyat Sarawak tidak menyukai politik demonstrasi jalanan yang didukung oleh pihak pembangkang seolah-olah ia adalah satu-satunya bukti demokrasi.

“Penganjur cuba bermain kata-kata seolah-olah misi telah dicapai tetapi hakikatnya kecantikan kata-kata tersebut gagal digambarkan melalui kehadiran yang hanya dikatakan antara 30 hingga 40 orang sahaja.

“Bahkan protes aman tersebut ditolak bulat-bulat oleh penyokong pembangksang sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan media kelmarin.

Kelmarin sekumpulan pihak tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan menaikkan harga minyak baru-baru ini mengadakan perhimpunan aman di Padang Merdeka.

Kumpulan yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Solidariti Anak Muda Malaysia, Persatuan Anak Muda Sarawak, Persatuan Iban Dayak Sarawak, Belia Demi Perubahan Sarawak, Pergerakan Progresif Pelajar Sarawak dan Pergerakan Demokratik Pelajar dan Belia Sarawak, mula berkumpul di kawasan taman berhampiran Wisma Hopoh sekitar jam 12 tengah hari.

Mereka yang mula berarak pada jam 1.15 petang dan tiba di Padang Merdeka sekitar jam 1.45 petang, seterusnya menandatangi sebuah petisyen yang bakal dikemukakan ke Jabatan Perdana Menteri.

Pandi turut mempersoalkan perpaduan DAP dan PKR memandangkan perhimpunan itu didalangi DAP.

Katanya rakyat Sarawak tidak dapat memperjudikan nasib mereka dengan memilih pembangkang yang obses dengan agenda ‘bunuh-membunuh’ rakan seperjuangan.

“Ini berbeza dengan Barisan Nasional yang memberi tumpuan kepada agenda pembangunan agar rakyat dapat menikmati hasil-hasil pembangunan.

“Pada masa yang sama kerajaan Barisan Nasional peka dengan keluhan dan luahan hati rakyat,” ujarnya.

Pandi berkata, kerajaan bukan sekadar memberi tumpuan terhadap isu minyak tetapi melihat dan membantu menyelesaikan semua masalah rakyat.

Menurutnya, ada banyak saluran yang boleh digunakan untuk menyatakan rasa tidak gembira kepada BN.

“Mengapa perlu berdemonstrasi? Adakah pihak penganjur ingin publisiti murahan daripada protes aman ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment