Sunday, 4 September 2016

Tahniah Pandelela! Anda kebanggaan semua anak Sarawak!


Dalam keghairahan kita meraikan kejayaan anak Sarawak dalam kejohanan sukan nombor satu dunia, sebaik-baiknya kita hendaklah tidak berlebih-lebihan.

Saya amat khuatir sekiranya keghairahan ini akan menghasilkan bibit-bibit kecil yang kemudiannya mendatangkan masalah kepada Malaysia.

Kita semua sedia maklum, sebelum adanya keamanan yang membolehkan kita tidur dengan lena di malam hari, berjalan dengan hati yang tenang di tempat asing, memandu tanpa rasa gelisah di sepanjang jalan yang gelap gulita, anggota-anggota keselamatan telah terlebih dahulu meletakkan nyawa mereka sebagai taruhan.

Sarawak dan Malaysia telah melalui beberapa peristiwa berdarah yang menyaksikan anggota-anggota keselamatan tanpa memikirkan nasib ibu bapa, isteri dan anak telah berjuang dengan nyawa mereka.

Ini dilakukan demi keamanan yang kita semua sekarang sedang nikmati.

Pada ketika saya mengetahui ada laporan polis yang telah dibuat oleh pesara anggota keselamatan, saya merasa sedih. (Klik sini)

Sedih kerana pesara anggota keselamatan tersebut merasakan pengorbanan nyawa yang telah dilakukannya tidak dihargai oleh rakyat Malaysia yang sekarang ini sedang menikmati hasil dari pengorbanan beliau dan rakan-rakan beliau.

Mungkin masanya sudah tiba untuk Kerajaan Malaysia melakukan program yang mampu membawa anggota-anggota keselamatan bersama-sama dengan rakyat Malaysia meraikan sumbangan atlit-atlit negara dipersada Malaysia.

Biar tiada pihak yang merasakan mereka dipinggirkan ketika semua kita meraikan kejayaan atlit-atlit Malaysia.

Saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk menyatakan rasa bangga saya diatas kejayaan anak Sarawak Pandelela Rinong memenangi pingat perak untuk Malaysia dalam sukan Olimpik yang lepas.

Tahniah Pandelela!!!

Ramai anak Sarawak merasa bangga dengan kejayaan anda!!!


Saya amat berharap dua anak Sarawak - Jamery Siga dan Jong Yee Khie - yang mewakili Malaysia di Paralimpik Rio akan mampu membawa pulang kejayaan yang cemerlang!

Semua rakyat Sarawak berada dibelakang anda berdua!!!
  

No comments:

Post a Comment