Pertemuan diantara Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya dilihat sebagai suatu pertemuan yang bersejarah.
Samada ia merupakan satu peristiwa yang bakal mengubah landskap politik nasional, ianya terlalu awal untuk ditafsir sedemikian.
Ia pertemuan yang bersejarah kerana kedua-dua mereka mampu mengenepikan perbalahan peribadi yang telah memberi kesan kepada perubahan landskap politik nasional.
Selangor, Kedah, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang telah jatuh ketangan pihak pembangkang dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Barisan Nasional berjaya mendapatkan semula Kedah, Perak dan Terengganu tetapi undi popular dalam Pilihanraya Umum ke-13 amat jelas sekali menunjukkan bahawa rakyat menyebelahi pakatan pembangkang.
Barisan Nasional, khususnya diperingkat nasional, mesti memperbaiki banyak kelemahan sekiranya enggan melihat undi popular ini terus meningkat dan kemudiannya diterjemahkan kepada penguasaan pakatan pembangkang di parlimen dan negeri-negeri di Semenanjung.
Berbalik semula kepada pertemuan yang bersejarah tersebut, saya mengkategorikan ia bersejarah kerana ia dengan jelas membuktikan bahawa apa jua dendam kesumat yang ada dihati manusia, ia mampu diatasi dengan mengambil pendekatan yang pragmatik.
Mungkin dalam konteks Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, politik adalah faktor penyebab.
Tetapi ini tidak bermakna ia hanya berlaku dalam dunia politik!
Hakikatnya ia boleh berlaku diluar dunia politik - dalam persekitaran kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya.
Ahli keluarga bermaafan; sahabat bermaafan, rakan sekerja bermaafan, dan sebagainya.
Inilah semangat yang mesti ada pada umat Islam - mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk mengenepikan perbalahan besar demi hubungan sesama Muslim.
Menyentuh mengenai PPBM, saya beranggapan Barisan Nasional Sarawak tidak gentar dengan kewujudannya.
Kewujudannya semata-mata untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan UMNO.
Perjuangan yang sempit seumpama itu tidak akan mampu mempengaruhi rakyat Sarawak untuk bersama-sama mereka.
Akhirkata, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha.
Semoga orang Islam, tanpa mengira ideologi politik, akan sentiasa mengutamakan kemesraan hubungan sesama mereka.
No comments:
Post a Comment