Thursday, 7 April 2011

Pertandingan sengit di N.58 Jepak

Posted on April 7, 2011, Thursday

BINTULU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menyaksikan pertandingan sengit lima penjuru membabitkan Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan dua calon Bebas dalam Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 kali ini.

Calon BN selaku penyandang kerusi DUN Jepak Datuk Talib Zulpilip daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tiba di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Bintulu bersama 2,000 penyokongnya.

Beliau yang mengemukakan borang penamaan calon pada jam 9.25 pagi bakal ditentang oleh dua calon parti pembangkang dan dua calon Bebas.

Talib yang merupakan Menteri Muda Pelancongan dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berasal dari Kampung Kuala Tatau.

Pencadang beliau ialah Timbalan Ketua PBB Jepak Saidi Abang Samsudin dan penyokongnya Sureng Baba.


Sementara PKR yang diwakili oleh Naib Ketua III PKR Bintulu Abdul Jalil Bujang tiba bersama 150 penyokongnya dan mengemukakan borang penamaan calon yang diterima pada jam 9.09 pagi. Beliau dari Taman Bukit Orang Bintulu dicadang oleh Awang Majit Suhaili dan penyokongnya, Sumbang Atu. Jalil turut diiringi oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh daripada PKR. 

Manakala borang penamaan calon Awang Abdillah Awang Nasar,60 daripada Bebas diterima pada jam 9.40 pagi

bersama pencadangnya Johini Wahab dan penyokongnya Askarawi Hamdani. Beliau adalah seorang peniaga dari Taman Bayang, Jalan Wan Alwi, Kuching.

Ia diikuti borang penamaan calon Abdul Kuddus Ramlee, juga calon Bebas dari Taman Sebiew Indah, Bintulu yang diterima pada jam 9.45 pagi.

Pencadangnya adalah Ahmad Zaidi Adenan dan penyokongnya, Usop Ahmad@ Yusup Ahmad.

Manakala SNAP yang diwakili oleh Ramli Melaka yang merupakan ahli perniagaan diterima borang penamaan calonnya pada jam 9.55 pagi.

Beliau dari Taman Putrajaya, Jalan Tun Hussein Onn Bintulu dicadang oleh Tukau Gurutak dan disokong oleh Albert Muramat Jimat.

Sekitar jam antara 10 pagi hingga 11 pagi pada waktu tambahan masa, hanya satu bantahan diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.58 Jepak Ismawie Salleh namun tiada borang penamaan pencalonan yang ditolak.

Kesemua lima calon terbabit diumumkan dan disahkan oleh Ismawie untuk bertanding bagi merebut kerusi DUN Jepak selepas tamat masa bantahan lebih kurang jam 12 tengah hari semalam.

“Saya menerima satu bantahan ke atas calon namun tiada calon ditolak setelah tamat masa bantahan,” katanya semasa mengumumkan nama-nama calon yang bertanding di pekarangan Dewan Suarah semalam.

Beliau yang juga timbalan residen (sosial) berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima pencalonan lima calon yang telah mengemukakan kertas pencalonan mereka semalam.

Berikutan itu katanya, hari pengundian akan dijalankan pada 16 April di pusat-pusat pengundian seperti dalam notis 8 yang akan ditentukan di pusat-pusat pengundian yang ditetapkan.

Ramai pemerhati menyifatkan pilihan raya bagi kerusi DUN Jepak akan berlaku persaingan sengit berikutan lima calon akan bertanding merebut kerusi tersebut.

Suasana hari penamaan calon berjalan lancar dan cukup meriah dengan diselangi beberapa teriakan dan ragam penyokong beberapa parti bagi menaikkan semangat calon parti masing-masing yang bertanding.

Manakala seorang lagi calon dari Parti Cinta Malaysia (PCM), Kamis Mahadi yang datang lebih awal sekitar jam 8.40 pagi tidak muncul semula di Dewan Suarah Bintulu selepas terpaksa balik untuk mendapatkan borang penamaannya yang lain berikutan borang yang dibawanya sebelumnya tidak lengkap.

Masa yang ditetapkan mengemukakan borang penamaan calon itu adalah dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Dalam pilihan raya 2006, Talib menang dengan majoriti 3,179 menewaskan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Wan Saimi Wan Dahlan yang memperolehi 1,818 undi.

Pada pilihan raya itu, Talib berjaya memperolehi undi sebanyak 4,997 dalam pertandingan satu lawan satu antara BN dan DAP.

No comments:

Post a Comment