Wednesday 13 April 2011

BDA perbesarkan Kampung Jepak kepada 700 unit lot

Utusan Borneo
Posted on April 13, 2011, Wednesday

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah melaksanakan pelbagai kemudahan di kawasan Kampung Jepak, antaranya projek pembesaran kampung melibatkan dua fasa membabitkan 700 unit lot di kampung itu.

Pengurus Besar BDA, Datu Mohidin Ishak berkata, fasa pertama penyediaan unit lot kampung itu adalah berjumlah 300 unit lot dan fasa kedua pula 400 unit lot.

“Projek pembesaran kampung ini lebih besar daripada kampung tradisi yang sedia ada di Jepak bagi menampung pertambahan populasi penduduk di kawasan itu,” ujarnya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak pembinaan dan menambah baik sistem perparitan untuk Kampung Sebuan Jepak bernilai RM1.45 juta di Balai Raya Kampung Jepak semalam.

Beliau berkata, projek pembesaran kampung yang dilaksanakan oleh BDA itu adalah untuk memastikan pembesaran kampung lebih terancang, lotnya lebih tersusun serta lengkap dengan kemudahan air, elektrik dan jalan raya.

Selain itu katanya, kemudahan yang turut dibangunkan di kawasan Jepak adalah klinik dan yang telah beroperasi pula adalah sebuah sekolah menengah.

“Jika perlu kita mungkin akan membina rumah kedai di kawasan Jepak pada masa hadapan di samping projek-projek yang bakal dimajukan oleh sektor swasta di kawasan itu,” tambahnya.

Menurutnya, kawasan Jepak akan terus berkembang dan membangun dengan segala kemudahan yang diperlukan pada masa hadapan.

Ujarnya, banyak perubahan pembangunan telah dapat dilihat di kawasan Jepak antaranya jalan raya yang cantik, pembinaan jambatan, pusat kemahiran, medan niaga, perpustakaan awam dan yang bakal dibina adalah bangunan untuk anak-anak yatim.

“Dalam masa terdekat BDA juga turut merancang untuk membina Taman Bunga di tanah bukit di Kampung Jepak serta sebuah muzium,” tambahnya.

Sementara itu, sistem perparitan yang dibina dan ditambah baik itu katanya, ia merupakan sebahagian projek pembangunan yang telah dirancang oleh BDA di Jepak.

Projek itu akan bermula 25 April ini selama lapan bulan akan dipertanggungjawabkan kepada BIHH Sdn Bhd.

Pada majlis menandatangani kontrak itu, BIHH diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohamad Ahak dan disaksikan oleh Pengarahnya John Paul Heng. Manakala BDA diwakili oleh Datu Mohidin dan disaksikan oleh Pengurus Kanan (Undang-Undang) BDA, Siti Aishah Othman.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi (SEDC) yang juga calon DUN N.58 Jepak, Datuk Talib Zulpilip dan Temenggung Abang Suhaili Abang Mohamad antara yang turut hadir pada majlis itu.

No comments:

Post a Comment