Wednesday, 13 April 2011

Penduduk bangga Kanowit dapat perhatian pemimpin negara

Utusan Borneo
Posted on April 13, 2011, Wednesday

KANOWIT: Penduduk tempatan berasa bangga kerana Kanowit bukan lagi sebuah pekan yang asing bagi orang kenamaan di peringkat tertinggi negara ini.

Lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa program ‘walkabout’ yang diadakan selama satu jam di sini Isnin lepas membuktikan pekan Kanowit mendapat perhatian di peringkat kerajaan persekutuan.

Muhyiddin yang ditemani oleh isterinya, Puan Sri Norainee Abd Rahman disambut oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan, Datuk Gramong Juna serta isteri, Datin Catherine Gramong dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Pandi Suhaili yang mengetuai seramai 38 orang ahli Pemuda PBB yang membawa bendera dan sepanduk BN.

Selepas bersalaman dengan orang ramai di bahagian kaki lima pekan Kanowit selama kira-kira 45 minit, Muhyiddin serta rombongan penyokong BN singgah di restoran Kafe 7 yang merupakan satu-satunya restoran Islam popular di kalangan masyarakat setempat.

Beliau sempat beramah mesra dengan ketua-ketua masyarakat dan orang ramai yang menjamu selera di situ.


Mohammad Fauzy, 40, ketika ditemui di Kafe 7 berkata, beliau berasa amat bangga kerana berpeluang melihat Timbalan Perdana Menteri secara lebih dekat semasa beliau beristirahat sebentar di Kafe 7 pada tengah hari itu.

“Saya amat bangga dan teruja melihat Tan Sri Muhyiddin datang ke sini buat julung kalinya dan ini juga pertama kali saya berkesempatan bersalam dengan beliau,” kata Mohamad Fauzy, 40, ketika ditemui di Kafe 7.

Salah seorang rakan kongsi Kafe 7, Johan Tambi, 32, berkata dia berasa amat bertuah kerana Timbalan Perdana Menteri menjamu selera di restorannya.

“Kami telah dimaklumkan mengenai kedatangan beliau ke sini sejak awal lagi dan saya sangat gembira kerana semua persediaan untuk menyambut kedatangan Tan Sri di Kafe 7 teratur dan berjalan lancar,” ujar Johan.

Bagi Boniface Henry, 45, tidak keberatan untuk bangun seawal jam 5 pagi untuk pergi ke pekan Kanowit dari Bawan hanya untuk bersua muka dan berjabat tangan dengan Muhyiddin pada hari itu.

“Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyambut kedatangan seorang VIP yang dihormati seperti Muhyiddin,” katanya kepada Utusan Borneo.

No comments:

Post a Comment