Kenyataan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili
22hb Januari 2013
(merujuk kepada " State BN leaders brush off online report of conspiracy to oust Taib in next PBB convention ")
Rakyat Sarawak sudah sedia maklum Sarawak Report sebagai satu laman web yang berniat jahat terhadap Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Kerajaan Barisan Nasional.
Laman web tersebut, walaupun berusaha untuk menunjukkan bahawa ia bersikap profesional dalam membuat laporan, ia sebenarnya gagal menepati kriteria yang membolehkan ianya dianggap sebagai adil, berniat baik dan telus dalam membuat laporan.
Apa jua yang diterbitkan dalam laman web tersebut, hanya satu sahaja motifnya - iaitu untuk membantu PKR, DAP dan PAS menjatuhkan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Kerajaan Barisan Nasional.
Serangan demi serangan ditujukan ke arah Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana laman web tersebut beranggapan sekiranya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berjaya dihapuskan, maka PKR, DAP dan PAS akan mudah untuk menawan Sarawak.
Dan pada masa yang sama, laman web tersebut akan menulis cerita-cerita dongeng mengenai individu-individu yang dikatakan rapat dengan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Ini adalah bertujuan untuk menimbulkan ketegangan diantara Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan individu-individu yang dinyatakan dalam cerita-cerita dongeng Sarawak Report.
Artikel mutakhir laman tersebut mengenai konspirasi yang diketuai oleh Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan untuk menjatuhkan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam konvensyen parti PBB dalam bulan Mei ini adalah satu lagi cerita dongeng yang ditulis oleh laman web tersebut.
Mungkin penulis artikel tersebut sedang bermimpi ketika menulis artikel yang secara terang-terang berniat jahat untuk mengkucar-kacirkan PBB.
Mungkin laman web merasakan mereka dapat menipu rakyat Sarawak dengan menulis seolah-olah mendapat maklumat dari orang terdekat Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Tapi hakikatnya, ianya adalah satu pembohongan yang teramat bohong sekali.
Dan bodoh kerana tidak memahami politik PBB.
Dimanakah kewarasan penulis laman web bila mengatakan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan digugurkan di konvensyen parti dalam bulan Mei ini apabila pada masa yang sama mengatakan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mengumpul Yang Berhormat-Yang Berhormat dari parti komponen BN?
Adakah mereka ini mempunyai hak untuk mengundi dalam konvensyen parti PBB?
Sarawak Report sepatutnya sudah sedar bahawa Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah jantung dan hati setiap ahli PBB apabila cerita-cerita dongeng mereka gagal membuatkan rakyat merasa benci terhadap Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Bahkan, mungkin Sarawak Report patut diberi ucapan terimakasih kerana disebabkan kebangangan dan kebodohan yang berniat jahat terhadap Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, laman web tersebut sebenarnya telah membuat ahli-ahli PBB, khususnya, dan rakyat Sarawak, amnya, semakin rapat dengan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Ini kerana semua ahli-ahli PBB tahu bahawa Sarawak Report hanyalah kuda tunggangan kepada pihak yang berkehendakkan PKR, DAP dan PAS mengambilalih kerajaan negeri Sarawak dari tangan parti Barisan Nasional.
Niat jahat Sarawak Report adalah jelas sekali - membuka ruang kepada PKR, DAP dan PAS.
Pada masa yang sama semua parti komponen Barisan Nasional harus menjalankan siasatan untuk memastikan tiada musang berbulu ayam dalam parti masing-masing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.
Sepatutnya semua ahli parti komponen Barisan Nasional memberi tumpuan kepada pilihanraya ke-13 yang akan diadakan bila-bila masa saja, dan bukannya cuba hendak menjatuhkan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan mewujudkan keadaan kucar-kacir dalam PBB.
Sekian. Terimakasih.
........................................................................................