Monday 13 June 2016

Putrajaya perlu tunai janji kepada rakyat Sarawak

Saranan ADUN N42 Semop YB Abdullah Saidol yang mengesa pihak Kerajaan Persekutuan di Putrajaya agar segera menunaikan janji-janji mereka untuk meningkatkan kemudahan asas serta menaiktarafkan pasarana di kawasan luar bandar amat tepat sekali.

Saya sangat bersetuju dan menyokong penuh saranan ini walaupun saya amat yakin bahawa janji-janji ini akan ditunaikan sebagaimana yakinnya Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ini adalah kerana tidak menjadi satu kesalahan untuk sentiasa mengingatkan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa tentang janji-janji yang perlu ditunaikan.

Kerajaan Barisan Nasional Sarawak amat memerlukan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri Sarawak.

Oleh itu, diharapkan kepimpinan Barisan Nasional di Putra Jaya yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat melakukan sesuatu untuk menyegerakan penunaian janji-janji yang telah dilakukan sebelum ini.


Mungkin tidak keterlaluan sekiranya saya bersetuju dengan pandangan bahawa sokongan rakyat Sarawak terhadap Barisan Nasional pusat amat bergantung kepada komitmen untuk menunaikan janji-janji oleh Putrajaya.

Kerajaan Barisan Nasional Sarawak sentiasa berusaha untuk membangunkan kawasan luar bandar agar dapat menikmati pembangunan yang dinikmati oleh bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Komitmen Kerajaan Barisan Nasional Sarawak dalam hal ini adalah jelas kepada semua - termasuk majoriti pengundi di kawasan luar bandar.

Bahkan kejayaan Barisan Nasional Sarawak mendapat mandat yang kuat daripada majoriti pengundi kawasan luar bandar menunjukkan bahawa mereka mengakui sumbangan yang telah diberikan oleh Kerajaan Barisan Nasional Sarawak dan pada masa yang sama berkeyakinan Kerajaan Barisan Nasional Sarawak mampu membawa lebih banyak pembangunan yang terancang ke kawasan luar bandar.

Malangnya pihak pembangkang enggan mengakui hakikat ini – dan ini secara tidak laangsung menunjukkan bahawa mereka memandang rendah terhadap kemampuan penduduk luar bandar untuk membuat penilaian keatas keikhlasan dan komitmen Kerajaan Barisan Nasional Sarawak untuk membangunkan kawasan luar bandar.

Pihak pembangkang masih lagi berada di tampuk pemikiran kuno dan kolot yang asyik melihat Kerajaan Barisan Nasional Sarawak sebagai musuh yang mesti dihapuskan - dan bukannya sebagai 'rakan pembangunan Sarawak'.

Bahkan pihak pembangkang kelihatan bermuka-muka apabila mereka mendakwa berdiri teguh bersama-sama Kerajaan Barisan Nasional Sarawak dalam memperjuangkan hak-hak negeri.

Bukankah aktiviti membangunkan Sarawak, termasuk kawasan luar bandar, juga merupakan satu proses memperjuangkan hak negeri untuk membangun seperti negeri-negeri lain di Malaysia?

Sarawak memerlukan dana yang banyak daripada Putrajaya untuk melaksanakan banyak projek-projek pembangunan di seluruh pelusuk negeri.

Sepatutnya pihak pembangkang turut berdiri teguh dibelakang Kerajaan Barisan Nasional Sarawak dalam usaha Kerajaan Barisan Nasional Sarawak mendapatkan dana daripada Putrajaya - dan bukannya hanya tahu mengkritik seolah-olah Kerajaan Barisan Nasional Sarawak tidak pernah membawa sebarang pembangunan ke Sarawak.

Rakyat Sarawak sebenarnya amat bernasib baik kerana pentadbiran negeri Sarawak bukannya diuruskan oleh pihak pembangkang yang hanya tahu berpolitik setiap waktu demi kuasa.


Receive Regular Updates via Telegram

No comments:

Post a Comment