Thursday 10 September 2020

Membantu pemimpin PSB umpama melepaskan anjing tersepit, sudah lepas dia menggigit.

Ahli Majlis Tertinggi PBB Pandi Suhaili berpandangan tindakan membantu kepimpinan tertinggi PSB umpama melepaskan anjing tersepit, sudah lepas dia menggigit.

Menurut beliau, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah berusaha sebaik mungkin untuk membantu kepimpinan PSB ketika mereka berselisih dengan kepimpinan komponen parti GPS.

“Abang Jo cuba untuk mencari titik tengah yang dapat mendamaikan kedua-dua pihak dengan harapan ia akan memberi manfaat kepada kestabilan politik Sarawak.

“Malangnya apabila mereka gagal mendapat apa yang mereka mahukan, dengan sewenang-wenangnya mereka melupakan jasa rakan-rakan mereka dalam GPS yang telah banyak menghulurkan bantuan kepada mereka sebelum ini!”

Pandi berkata tindakan seperti itu menunjukkan bahawa mereka terdiri daripada kelompok ahli politik yang kecewa dengan perjuangan mereka dan tidak mengenang budi.

“Jika benar mereka setia dengan perjuangan kita, mereka tidak akan bertindak sedemikian kerana kita telah lama berjuang dibawah BN, dan kemudiannya GPS,” kata Pandi.

Beliau seterusnya berkata, rakyat mesti menolak parti politik yang tidak berprinsip dalam perjuangan mereka.

Menurut beliau, ahli politik yang hanya taksub dengan kuasa tanpa mengambil peduli bantuan yang telah diberikan hanya akan mendatang bala kepada rakyat.

“Kita telah mengalami 22 bulan pemerintahan PH yang mana kepimpinan PH bersikap tidak ambil peduli sokongan yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka sehingga berjaya menumbangkan BN di peringkat persekutuan.

“Rakyat dihimpit dengan pelbagai masalah yang berpunca dari kepimpinan PH yang rupa-rupanya hanya mahukan kuasa tapi bukan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Adakah rakyat Sarawak mahu negeri Sarawak yang tercinta ini ditadbir oleh individu-individu seperti ini?” tanya Pandi.

Pada Isnin lepas, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh mendakwa Abang Johari memainkan peranan utama pembentukan UPP (Parti Rakyat Bersatu yang kemudiannya ditukar nama kepada PSB).

Beliau juga mendakwa Abang Johari, ketika itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri, mengetuai delegasi bekas pemimpin SUPP berjumpa Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang ketika itu merupakan Perdana Menteri.

Sementara itu, Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dalam kenyataannya di Facebook, berkata : "Perkara ini tidak perlu dijadikan isu kerana apa yang dinyatakan oleh beliau (Abang Jo) adalah ikhlas dan untuk perpaduan rakyat Sarawak yang terdiri dari berbilang kaum bernaung di bawah persaudaraan erat di Bumi Kenyalang bertuah ini."

Sebelum itu, Abang Johari dilaporkan berkata beliau sentiasa berusaha untuk melakukan pendamaian sejak SUPP dilanda krisis kepimpinan.
 




No comments:

Post a Comment