Utusan Borneo - Posted on October 1, 2012, Monday
BINTULU: Pembangunan yang dikecapi di Bintulu seperti yang dilihat hari ini jelas membuktikan kerajaan amat komited dalam memajukan Kota Tenaga Sarawak itu sebagai sebuah bandar raya perindustrian mesra menjelang 2020, kata Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip.
Menurutnya, Bintulu pada masa sekarang mengalami transformasi pesat dalam pelbagai bidang terutama sektor perindustrian yang bakal memberi nadi baharu kepadanya untuk bergerak lebih maju sebagai sebuah bandar perindustrian bertaraf antarabangsa.
“Bintulu sememangnya terkenal dengan industri berasaskan gas dan minyak, justeru dengan adanya projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) maka kita mampu memajukan kawasan wilayah tengah negeri ini,” katanya pada Majlis Makan Malam bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah di sini malam kelmarin.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Sri Celestine Ujang, Pengurus Besar BDA Datu Mohidin Ishak, Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakub Kari dan bekas ahli perniagaan terkemuka Dato Sri Yek Min Ek.
Talip berkata walaupun Bintulu pada masa lalu merupakan sebuah perkampungan nelayan kecil dengan beberapa deret kedai sahaja, namun apa yang dilihat sekarang sudah jauh berbeza.
Justeru, katanya Bintulu telah mengalami perubahan fizikal yang amat pesat terutama dari segi prasarana serta infrastruktur moden yang menjadi keperluan dan tuntutan masa kini.
“Semua ini jelas membuktikan kerajaan sentiasa mementingkan keselesaan dan keperluan rakyat khususnya di Bintulu selain meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang lebih baik,” ujarnya.
Katanya Bintulu hari ini adalah hasil usaha gigih pemimpin terdahulu dalam memajukannya dan kesinambungan pembangunan itu akan diperhebatkan bagi membolehkannya bergerak seiring dengan bandar-bandar lain di negeri ini.
Sehubungan itu, Talib menyeru rakyat Bintulu khususnya golongan muda agar merebut peluang kerja serta perniagaan hasil daripada perkembangan pesat yang dinikmati sekarang.
“Peluang pekerjaan dan perniagaan dilaksanakan pada masa sekarang kesan daripada projek SCORE harus direbut oleh golongan belia, lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi mengubah status sosioekonomi keluarga dan pendapatan yang lebih baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment