Friday 19 August 2016

YB Chong hina aspirasi rakyat Sarawak

Pengerusi DAP Sarawak YB Chong Chieng Jen patut meminta maaf kepada rakyat Sarawak kerana memiliki pemikiran yang menjelekkan.

YB Chong Chieng Jen memberi gambaran seolah-olah rakyat Sarawak adalah seperti lembu-lembu yang dicucuk hidung yang tidak mampu untuk berfikir.

Adakah beliau beranggapan keputusan lima Yang Berhormat untuk menyertai PBB bukan aspirasi rakyat Sarawak? (Pautan berkaitan: Selamat Datang ke PBB)

Bukankah mereka telah diberitahu agar mendapatkan maklum balas daripada rakyat Sarawak yang telah mengundi mereka dalam pilihanraya yang lepas?

Sudah terang tanpa bersuluh lagi bahawa YB Chong Chieng Jen sebenarnya cuba untuk memberi gambaran yang buruk mengenai PBB seolah-olah rakyat Sarawak bodoh dan hanya menjadi pak turut sahaja.

Sekiranya benar DAP Sarawak mempunyai semangat anak Sarawak yang jitu, YB Chong Chieng Jen tidak seharusnya memperlekehkan kehendak rakyat Sarawak yang mahukan wakil rakyat mereka menyertai PBB.

Sepatutnya DAP Sarawak membuang jauh sikap memandang hina pemikiran rakyat Sarawak dengan menyambut baik keputusan untuk menyertai PBB kerana ia merupakan keputusan rakyat Sarawak.

Apa jua kesefahaman yang telah dicapai di masa lampau mesti mengambil kira kehendak semasa rakyat Sarawak.

Adakah YB Chong Chieng Jen cuba menggambarkan bahawa aspirasi rakyat tidak boleh mengatasi sebarang keputusan perundingan politik diantara parti-parti politik?

Adakah ini bermaksud DAP Sarawak sebenarnya meletakkan parti diatas rakyat?

Malang sekali sekiranya ini benar kerana ternyata rakyat Sarawak yang telah mengundi parti tersebut sebenarnya telah ditipu oleh DAP Sarawak.

Perjuangan DAP Sarawak adalah perjuangan meletakkan parti diatas rakyat - dan bukannya perjuangan untuk rakyat.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah memberi jaminan bahawa PBB tidak mengenepikan parti-parti komponen dalam pentadbiran negeri Sarawak walaupun PBB menguasai lebih daripada separuh kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Sepatutnya DAP Sarawak mengambil pendekatan bersangka baik dan bukannya bersangka buruk.

Ataupun memang sudah menjadi sikap DAP Sarawak untuk bersangka buruk terhadap apa jua yang berkaitan dengan BN seperti pemimpin-pemimpin mereka di Malaya.

Malang sungguh rakyat Sarawak yang telah menyokong DAP Sarawak.

No comments:

Post a Comment