Friday 12 August 2016

Tahniah Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diatas pendaftaran sebuah parti baru yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi kukuh dibelakang sistem demokrasi yang sedia ada.

Ini juga menunjukkan bahawa laungan-laungan yang cuba menggambarkan bahawa demokrasi telah mati ataupun tenat di Malaysia adalah berniat jahat untuk memburukkan parti pemerintah - Kerajaan Barisan Nasional.

Sekiranya benar bahawa sistem demokrasi di Malaysia telah mati ataupun tenat sehinggakan Kerajaan Barisan Nasional akan tetap menang tanpa mengira apa jua yang berlaku di Malaysia, pemimpin berpengalaman seperti Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan berusaha untuk menubuhkan sebuah parti baru yang dikatakan mempunyai matlamat untuk menyaingi UMNO secara 'head on'.

Oleh itu, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Memandangkan musuh ketat parti baru ini ialah UMNO, secara peribadi saya merasakan parti ini tidak akan memberikan impek yang besar di Sarawak - sekiranya ia berhasrat untuk membuka cawangan di Sarawak.


Ini disebabkan Sarawak tidak mempunyai UMNO.

Tambahan pula parti-parti tempatan seperti PBB, PRS, SUPP dan SPDP telah berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik di Sarawak.

Prestasi pihak pembangkang yang buruk pada pilihanraya yang lepas adalah satu bukti yang kukuh terhadap penerimaan rakyat Sarawak terhadap parti-parti tempatan yang kemudiannya membentuk Kerajaan Barisan Nasional Sarawak.

Walau bagaimanapun, saya menyeru rakyat Sarawak agar tidak memandang remeh terhadap parti baru ini walaupun ia dianggap tidak akan berupaya untuk memberi sebarang impek di Sarawak.

Akan ada kejutan-kejutan yang bertujuan untuk melemahkan Kerajaan Barisan Nasional pusat, khasnya, dan Kerajaan Barisan Nasional negeri, amnya.

Rakyat Sarawak mesti sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan parti baru ini yang mungkin mempunyai selera besar untuk merampas Sarawak dari tangan-tangan anak tempatan.
  

No comments:

Post a Comment