Wednesday 3 April 2013

PRU13 : Pemuda PBB Sarawak yakin "Tsunami Biru" akan menghancurkan pakatan pembangkang

Kenyataan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili
03hb April 2013

Pergerakan Pemuda PBB Sarawak berkeyakinan tinggi bahawa PBB akan berjaya memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya umum ini.

Walaupun pembangkang telah lama berusaha untuk merosakkan minda rakyat agar membenci pemimpin Barisan Nasional, mereka tetap gagal untuk membohongi majoriti rakyat Sarawak yang berdiri dengan kukuh dibelakang Barisan Nasional.

Strategi mereka yang menghina kepimpinan Barisan Nasional seolah-olah tidak ada satupun kebaikan yang telah dinikmati oleh mereka dan anak-anak mereka membuatkan majoriti rakyat Sarawak merasa jelek dengan mereka.

Pada masa yang sama, Pergerakan Pemuda PBB Sarawak telah lama bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum ini dengan mengadakan banyak aktiviti-aktiviti yang mendekatkan Pergerakan Pemuda PBB Sarawak dengan rakyat Sarawak.

Diantara aktiviti yang banyak diperkatakan oleh rakyat Sarawak ialah "Gelombang Biru" yang dipelopori oleh Pergerakan Pemuda PBB Wilayah Tengah.

"Gelombang Biru" telah banyak menenggelamkan pembangkang ditempat-tempat yang dilawati .

Pergerakan Pemuda PBB Sarawak percaya "Gelombang Biru" ini akan menjadi lebih hebat lagi mulai dari hari ini - iaitu bertukar menjadi "Tsunami Biru".

"Tsunami Biru" ini bukan sahaja yang melemaskan pembangkang sehingga mereka tidak bermaya untuk memperbodohkan rakyat Sarawak, tetapi ia akan menghancurkan pembangkang dan menghanyutkan mereka keluar dari Sarawak.

Pergerakan Pemuda PBB Sarawak amat berharap rakyat Sarawak tidak diperbodohkan oleh dakwaan-dakwaan bahawa pembangkang mendapat sokongan yang padu di Semenanjung kerana sejak beberapa bulan ini, sudah nyata tanpa perlu bersuluh lagi bahawa ramai penyokong pembangkang telah meninggalkan mereka.

Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran 'hantu-hantu' ghaib yang mengisi tempat-tempat kosong ketika pembangkang sedang berceramah.

Pembangkang akan kalah di Semenanjung dan kita di Sarawak janganlah diperbodohkan oleh mereka.

Pergerakan Pemuda PBB Sarawak akan bekerjakeras untuk memastikan kemenangan yang bergaya di Sarawak untuk Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekian. Terimakasih.
........................................................................................

1 comment:

  1. hidup pandi! bila dilot nak support taib?

    ReplyDelete