Friday 23 June 2017

Cukai Pelancongan - dalam pahit, ada manisnya


Secara kasarnya, pengumuman Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai keputusan Kerajaan Barisan Nasional Sarawak untuk merelakan perlaksanaan cukai pelancongan di Sarawak adalah amat mendukacitakan.

Rata-rata rakyat Sarawak melihat keputusan ini sebagai tanda merelakan kesamsengan Menteri Pelancongan Datuk Nazri Abdul Aziz terhadap Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, khasnya, dan rakyat Sarawak,  amnya.

Bagi rakyat Sarawak, kesombongan dan kesamsengan seperti ini tidak boleh dimaafkan.

Atas sebab inilah rakyat Sarawak merasa terkilan apabila mendengar pengumuman daripada Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Walau bagaimanapun, dalam kepahitan, ada manisnya.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut mengumumkan Kerajaan Sarawak mahukan cukai pelancongan yang diambil di Bumi Kenyalang dikembalikan secara terus kepada Kerajaan Sarawak dan bukannya melalui mana-mana jabatan ataupun agensi-agensi kerajaan.

Desakkan seperti ini amat wajar sekali memandangkan cukai pelancongan tersebut sudah diluluskan di Parlimen.

Bahkan ia menguntungkan rakyat Sarawak kerana cukai pelancongan yang dikutip di Sarawak tidak dikongsi dengan mana-mana negeri tetapi menjadi sepenuhnya hak Kerajaan Negeri Sarawak.

Adanya sumber kewangan yang baru ini sudah semestinya akan dapat membantu untuk mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti promosi pelancongan didalam dan luar negeri.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Sarawak mahukan anak-anak Sarawak diberi pengecualian cukai pelancongan bila menginap di hotel tiga bintang dan kebawah.

Kemahuan-kemahuan ini telah dimaklumkan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.

Mudah-mudahan permintaan ini dipersetujui oleh Kerajaan Barisan Nasional Pusat.

Dan juga diharapkan dimasa hadapan tidak akan berlaku lagi penghinaan keatas mana-mana Menteri Sarawak.

No comments:

Post a Comment