Saturday 11 August 2012

Pemuda PBB anjur Kempen Mengibar Jalur Gemilang petang ini

Posted on August 11, 2012, Saturday

SIBU: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Wilayah Tengah dan Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak akan menganjurkan Kempen Mengibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan 2012 pada jam 4.30 petang ini (11 Ogos) di Jalan Simpang Tiga, Kampung Nangka (berhampiran bulatan simpang Kampung Hilir).

Menurut jurucakap penganjur yang juga Ketua Pemuda PBB Machan Hassan Tahir, pelancaran kempen itu akan disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol.

“Tetamu kehormat pada kempen itu nanti akan turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya yang lalu-lalang di kawasan itu nanti.

“Abdullah dijangka akan turut diiringi ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Naib Ketua Pemuda PBB Negeri Sarawak Pandi Suhaili dan Ahli Exco Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak Radin Kadri Radin Budiman.

“Objektif kempen itu ialah untuk memupuk semangat kecintaan kepada negara serta menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda,” ujarnya kepada Utusan Borneo selepas mengadakan mesyuarat akhir berkenaan dengan majlis itu di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, kempen itu merupakan aktiviti berterusan Pergerakan Pemuda PBB Wilayah Tengah sambil memohon kerjasama masyarakat setempat serta pengguna jalan raya yang lain supaya hadir beramai-ramai mendapatkan Jalur Gemilang secara percuma semasa kempen itu.

Sehubungan itu jelas Hassan, sejurus selepas kempen itu, majlis berbuka puasa bersama tetamu kehormat turut diadakan di Restoren Kasturi di Jalan Tunku Osman di sini pada jam 5.30 petang.

“Pada majlis itu, Abdullah akan menyampaikan sumbangan serta duit raya kepada saudara-saudara baharu yang datang dari Kapit, Kanowit, Meradong, Bawang Assan dan Sibu serta turut menyerahkan bantuan kepada golongan fakir miskin,” jelasnya.

Tambahnya, selepas majlis berbuka puasa para tetamu kehormat lain akan menunaikan solat maghrib, isya dan tarawih bersama saudara baharu dan golongan fakir miskin di Masjid An-Nur Sibu serta majlis berakhir dengan moreh.


Artikel berkaitan:
500 Jalur Gemilang distributed to public
Program Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia
Majlis Berbuka Puasa bersama YB Abdullah Saidol

No comments:

Post a Comment