Wednesday 1 August 2012

Jabatan Kesihatan S’wak digesa pergiat usaha banteras penularan wabak kolera

Posted on August 1, 2012, Wednesday

BINTULU: Jabatan Kesihatan Sarawak digesa mempergiatkan lagi usaha membanteras penularan wabak kolera di bahagian Bintulu, kata Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Pandi Suhaili.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PBB Jepak menjelaskan, segala langkah perlu dan drastik wajar dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membendung wabak berkenaan daripada terus merebak di bahagian ini serta bahagian-bahagian lain di negeri ini.

“Harus diingatkan, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati dan oleh yang demikian, kami (PBB Jepak) akan sedia turun padang sekiranya diperlukan bagi membantu Jabatan Kesihatan dalam tugas-tugas memeriksa serta apa jua program anjuran mereka dalam menghapus-kan wabak penyakit yang boleh mengancam nyawa itu,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun percaya segala langkah perlu telah diambil oleh Jabatan Kesihatan bagi membanteras serta mengawal wabak ini daripada terus merebak di kawasan-kawasan kediaman terutama penempatan yang terletak di kawasan pedalaman.

Sejak minggu lepas, pegawai dari Jabatan Kesihatan telah mulai pergi ke setiap kawasan penempatan serta perkampungan bagi menjalankan ujian saringan kolera dan ia berterusan sampai sekarang bagi memastikan ia tidak terus berjangkit serta berada dalam keadaan terkawal.

Pandi dalam masa sama turut menasihati umat Islam yang sedang menjalankan ibadah puasa agar sentiasa menjaga kebersihan makanan dan minuman yang disediakan terutama yang membelinya daripada bazaar Ramadan.

“Kalau boleh, sediakan makanan yang dimasak sen-diri kerana ia lebih sihat dan terjaga kebersihannya,” nasihat beliau.

Bagaimanapun jelasnya, bagi yang mendapatkan makanan serta minuman di bazar Ramadan dinasihatkan agar memilih gerai yang bersih supaya selamat untuk dimakan serta bebas daripada wabak kolera serta wabak penyakit yang lainnya berkaitan keracunan makanan.

No comments:

Post a Comment