Wednesday 22 August 2012

Jangan keterlaluan pertikaikan usaha mencegah jenayah

Jangan keterlaluan pertikaikan usaha mencegah jenayah
Posted on August 22, 2012, Wednesday

BINTULU: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menasihati pihak pembangkang agar tidak keterlaluan dalam mempertikaikan usaha pencegahan serta mengatasi masalah jenayah di Sarawak sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat di negeri ini.

Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili berkata, Pergerakan Pemuda PBB Sarawak tidak menganggap perbuatan mempertikai sesuatu sebagai tidak boleh dilakukan tetapi setiap kali pertikaian dibuat, ia mestilah dibuat secara bertanggungjawab dan bukan semata-mata untuk memancing undi.

Pandi berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan muka depan akhbar The Borneo Post pada Selasa lalu yang bertajuk ‘Claims of rising crime rate based on assumption, says police chief’ yang mana pihak pembangkang mempertikaikan kenyataan pihak polis bahawa indeks jenayah di negeri ini telah menurun serta memberikan dakwaan bahawa statistik jenayah yang dikeluarkan oleh pihak polis kepada masyarakat awam adalah tidak tepat.

“Pemuda PBB Sarawak melihat tindakan berpolitik dalam setiap isu tanpa mengira kesan negatif ke atas rakyat sebagai tidak bertanggungjawab.

“Justeru, Pemuda PBB Sarawak bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Ketua Polis Kuching ACP Roslan Bek Ahmad bahawa statistik yang keluarkan oleh pihak polis adalah statistik yang benar dan bukannya ditokok tambah bagi tujuan menipu rakyat,” jelasnya.

Katanya, Pemuda PBB Sarawak memuji usaha-usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan rakyat sehingga rakyat termasuk pihak pembangkang sendiri dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan bebas tanpa perlu khuatir dengan tahap keselamatan mereka meskipun semasa berada di luar rumah.

“Rakyat dalam pada itu harus berterima kasih kepada PDRM atas segala usaha mereka dalam membantu menjaga keamanan serta keselamatan rakyat negeri ini dan bukannya mengkritik mereka tanpa bukti yang kukuh atas dasar ingin memancing undi serta meraih simpati rakyat semata-mata,” tambahnya.

Beliau pada masa sama, percaya rakyat di negeri ini dapat menilai corak politik sempit yang dipraktikkan pembangkang yang dengan sengaja ingin menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat awam dengan harapan rakyat akan memberi mandat kepada mereka (pembangkang) bagi membentuk kerajaan baharu.

Artikel berkaitan:
* Kenyataan Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili - 21 Ogos 2012

1 comment:

  1. http://audie61.wordpress.com/2012/08/21/ka-boom-100-behind-it-all/

    pa crita sebenar tok?

    ReplyDelete