Tuesday, 28 August 2012

Setiap wakil rakyat BN berhak suara kepentingan rakyat di konstituensinya

Utusan Borneo
Posted on August 28, 2012, Tuesday

BINTULU: Setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhak menyuarakan kepentingan rakyat serta mengemukan pendirian berhubung apa sahaja isu dan permasalahan rakyat di konstitusinya, kata Naib Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Pandi Suhaili.

Jelasnya seseorang wakil rakyat hendaklah sentiasa mendengar segala permasalahan dikemukakan rakyat tidak kira sama ada mereka penyokong BN atau pembangkang kerana adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat bagi membantu menyelesaikannya.

Pandi berkata demikian bagi mengulas mengenai spekulasi bahawa Ahli Parlimen Mambong Datuk James Dawos Mamit mungkin akan digugurkan namanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ekoran tindakannya mengkritik Jabatan Perhutanan berkaitan isu pembalakan di Skim Penempatan Semula Bengoh pada Jun lalu.

“Kami percaya Dawos telah melakukan perkara yang betul dengan mengatakan pendirian beliau berhubung isu pembalakan di kawasan beliau sendiri dan perkara berhubung sama ada dia akan dikekalkan atau digugurkan, ia adalah perkara lain yang tidak berkaitan langsung dengan isu pembalakan tersebut,” ujarnya.

Pandi merasakan ia adalah satu laporan yang ‘nakal’ apabila mengatakan seorang wakil rakyat BN akan digugurkan atas sebab menyatakan pendirian terhadap sesuatu perkara bagi kepentingan rakyat di kawasannya.

Beliau beranggapan laporan dibuat untuk memberi gambaran yang negatif ke atas BN agar rakyat percaya bahawa kerajaan BN tidak berfikiran terbuka dalam menangani permasalahan dihadapi rakyat.

“Sebagaimana yang kita semua maklum, BN akan sentiasa mengambil kira semua faktor yang berkaitan terutama dalam menentukan sama ada seseorang wakil rakyat itu akan dikekalkan atau sebaliknya,” tambahnya.

Beliau menegaskan apa sahaja keputusan yang diambil ia harus mengambil kira kepentingan serta faedah rakyat di sesebuah kawasan itu.

Beliau yang mewakili Pergerakan Pemuda PBB Sarawak amat berharap tidak ada lagi pihak yang cuba membuat spekulasi nakal terhadap mana-mana wakil rakyat PBB khasnya dan BN amnya.

Rakyat dalam pada itu diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan spekulasi nakal seperti ini kerana ia bukan sahaja boleh mencemarkan imej baik BN sebagai sebuah parti memerintah di negara ini namun pada masa sama boleh menjatuhkan profil sesorang wakil rakyat itu sendiri.

Artikel berkaitan:
 

No comments:

Post a Comment