Monday 3 September 2012

Generasi muda digesa kenali sejarah perjuangan dan penubuhan PBB

Utusan Borneo
Posted on September 3, 2012, Monday


KAPIT: Generasi muda hari ini digesa mengenali sejarah perjuangan dan penubuhan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai teras mewarisi perjuangan pemimpin hari ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB Sarawak Pandi Suhaili berkata, bagi mewarisi perjuangan itu, generasi muda harus mencontohi semangat perjuangan mendiang Tun Jugah Barieng yang mewujudkan PBB di sini pada 30 April 1974.

“Kerana perjuangan pemimpin terdahulu dan hari ini, kita di Sarawak mengecapi kemakmuran, suasana aman dan stabil yang harus diteruskan oleh generasi hari ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Baru di sini, malam kelmarin.
  
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Semop Abdullah Saidol menjadi tetamu kehormat pada majlis itu yang dianjurkan bersama oleh Pergerakan Pemuda PBB Zon Tengah, Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda PBB Negeri, Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Pelagus, Baleh dan Katibas serta Pergerakan Pemuda PBB Ranting Kampung Baru Cawangan Pelagus.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha-setiausaha Politik Ketua Menteri Daniel Jubang Datuk Kenneth Kanyan, Wilson Nyambong Ijang dan Tengku Geruna serta ahli-ahli Exco Pemuda PBB Negeri Radin Kadri Radin Budiman dan Peter Sigie.

Pandi yang juga pengerusi Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda PBB Negeri berkata, sebagai anak muda, generasi hari ini harus mengenali sejarah dan perjuangan PBB untuk dijadikan landasan membawa hala tuju PBB dalam merentasi dunia yang penuh dengan cabaran sekarang.

Mengenai majlis itu beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada program jelajah ziarah raya ahli-ahli Pemuda PBB untuk menemui seberapa ramai lapisan masyarakat demi mengekalkan semangat ukhuwah dan persaudaraan.

“Matlamat Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda PBB adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat luar bandar, bertukar-tukar pendapat dan berbincang masalah berkaitan. Masalah ekonomi adalah yang sering dibangkitkan pada setiap konvensyen Pemuda PBB yang perlu kita tangani,” tegas beliau.

Sama ada perjuangan itu berjaya atau sebaliknya, ia tidak penting tetapi apa yang lebih penting, PBB dapat merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat, katanya.

Beliau yang turut mengumumkan bahawa Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda PBB akan menyumbang seekor lembu untuk sambutan Hari Raya Haji akan datang Kampung Baru, Kapit.

Timbalan Wali kota Majlis Daerah Kapit Jefferson Jamit Unyat yang mewakili Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi yang turut berucap pada majlis itu berkata, Kampung Baru Kapit adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan boleh dijadikan contoh gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, sumbangan Radin Kadri kepada masyarakat di sini patut dijadikan contoh oleh mereka yang sudah berjaya dan sesungguhnya ini membuktikan anak Kapit (Radin Kadri) tidak lupa kepada asal usul.

Ketua Pemuda PBB Ranting Kampung Baru Kapit (Cawangan Pelagus) Juluani Junaidi dalam ucapan aluannya berkata, Pemuda PBB di sini sentiasa bersiap sedia untuk ‘bertempur’ dengan pembangkang jika cuba menggugat kubu BN.

Beliau turut menggesa pihak berkenaan supaya memberi keutamaan kepada penduduk tempatan dalam pengagihan lot kediaman dan melaksanakan program perumahan mesra rakyat di sini.

No comments:

Post a Comment