Monday 3 September 2012

Politik pembangunan beri fokus kepada pembangunan, satukan masyarakat berbilang kaum

Utusan Borneo
Posted on September 3, 2012, Monday



KAPIT: Politik pembangunan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sejak lebih 20 tahun lalu sebenarnya memberi fokus kepada semua bidang pembangunan dan mahu menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol berkata, politik pembangunan itu selain memberi keutamaan kepada pembangunan turut memberi tumpuan kepada pembangunan pelajaran, budaya dan mempercepatkan penyatuan rakyat untuk terus maju.

“Begitu juga dengan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran politik negara,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Baru di sini, malam kelmarin.

Majlis itu adalah anjuran bersama Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah, Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda PBB Negeri, Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Pelagus, Baleh dan Katibas serta Pergerakan Pemuda PBB Ranting Kampung Baru Cawangan Pelagus.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Wali kota Majlis Daerah Kapit Jefferson Jamit Unyat yang mewakili Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, Setiausaha-setiausaha Politik Ketua Menteri Daniel Jubang Datuk Kenneth Kanyan, Wilson Nyambong Ijang dan Tengku Geruna, Naib Ketua Pemuda PBB Negeri Pandi Suhaili dan ahli-ahli Exco Pemuda PBB Negeri Radin Kadri Radin Budiman dan Peter Sigie.

Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Kapit Mohd Ikmal Abdullah, Pemanca Badi Nuawi, Penghulu Sepawi Bujang dan Ketua Pemuda PBB Ranting Kampung Baru merangkap pengerusi pengelola majlis tersebut, Juluani Junaidi.

Abdullah yang menggesa penduduk di sini supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang berkata, disebabkan politik pembangunan yang diperjuangkan oleh pemimpin negeri selama ini, bahagian Kapit mencapai pembangunan begitu pesat dan mengalami perubahan paling ketara.

“Kali pertama saya melawat Kapit ialah lebih 28 tahun lalu, namun semasa tiba di Kapit hari ini (kelmarin), saya begitu terkejut apabila melihat jetinya banyak berubah. Saya percaya jika Datuk Alexander terus menjadi wakil rakyat di sini, kemajuan Kapit pasti lebih pesat,” kata beliau.

Dalam banyak perbincangan dengan menteri-menteri di kerajaan pusat, Alexander sentiasa memberitahu tentang masalah serta keperluan penduduk di sini, jelasnya sambil mengucapkan tahniah kepada Pemuda PBB yang begitu giat menjayakan program membabitkan penyertaan masyarakat luar.

“Ada suatu ketika saya pernah terjumpa Datuk Alexander Nanta tertidur di lapangan terbang kerana mahu cepat sampai ke Kuala Lumpur dan ini membuktikan betapa bersungguh-sungguh Datuk Alexander Nanta mahu berkhidmat kepada rakyat,” tambanya.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak yang memenangi pertandingan mewarna yang dianjurkan pada sebelah petangnya dan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak serta mengumumkan RM10,000 untuk sambutan Hari Raya Haji bagi tiga kampung Melayu di sini (RM9,000) dan Tabika KEMAS (RM1,000).

Majlis itu diserikan lagi dengan kehadiran Nai Dinamik yang mendendangkan bebapa lagu terbaru daripada albumnya.
  

No comments:

Post a Comment