Sunday 16 September 2012

Pemilihan Bintulu memang tepat: Talib

Posted on September 16, 2012, Sunday

BINTULU: Hari Malaysia yang disambut malam ini di lapangan terbang lama di sini, merupakan satu pemilihan lokasi tepat bagi meraikan kejayaan membangunkan perkampungan nelayan hingga menjadi sebuah bandar perindustrian.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata dari sebuah penempatan nelayan dihuni kira-kira 5,000 orang satu ketika dahulu, kini Bintulu memiliki penduduk lebih kurang 200,000 orang.

“Pembangunan Bintulu akan berterusan dan mempunyai kesinambungan kerana kita sudah melepasi tahap sukar iaitu peringkat ‘berlepas’ umpama sebuah kapal terbang yang hendak terbang.

“Apabila sudah berjaya berlepas dari landasan ini bermakna pembangunan akan berterusan dan sudah pasti rakyat bakal menikmati manfaat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak berkata lagi sumber asli seperti gas dan minyak di Bintulu telah memangkinkan pembangunan yang dipadukan dengan kebijaksanaan pentadbiran kerajaan.

Kini, pembangunan akan diteruskan dengan pelaksanaan projek-projek mega di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bakal menyaksikan pelbagai industri dibawa masuk oleh para pelabur, misalnya loji melebur aluminium.

Katanya, pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah bersesuaian dengan sejarah Bintulu sebagai tempat pertama diadakan persidangan majlis negeri di Malaysia.

Persidangan pada 8 September 1867 itu merupakan detik penting dalam bercambahnya amalan demokrasi, katanya.

“Bintulu juga merupakan sebuah bandar yang dinamik dari segi komposisi kaumnya. Penduduk Bintulu terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum tetapi hidup harmoni.

“Penduduk tempatan Bintulu juga amat cepat menyesuaikan diri dengan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili berkata beliau merasa sangat bangga apabila Bintulu dipilih sebagai tuan rumah Hari Malaysia.

Katanya, ia merupakan antara penghormatan tertinggi diberi kepada Bintulu yang sejak 30 tahun dahulu menjadi sumber utama pengeluar gas asli cecair dan menyumbang kepada satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya juga berharap dengan terpilihnya Bintulu, akan semakin ramai rakyat negara ini mengenali Bintulu dari segi budaya pelbagai kaum di Sarawak.

“Pembangunan yang rancak susulan pelan pembangunan ekonomi yang tersusun rapi di bawah dasar Politik Pembangunan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kini memasuk fasa kedua,” katanya yang juga Ketua Pemuda PBB Jepak.

Justeru, beliau berharap pembangunan akan terus dinikmati di Bintulu susulan pemilihan sambutan Hari Malaysia diadakan di sini.

“Harapan dan impian rakyat agar Bintulu diisytihar sebagai bandar raya ketiga Sarawak,” katanya.

Seorang anak gadis tempatan yang mahu dikenali sebagai Nur Fitri, 17, berkata Bintulu merupakan bandar bertuah memandangkan hasil buminya yang melonjakkan pembangunan ekonomi.

“Sudah pasti saya gembira dengan pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan,” katanya yang menetap di Kampung Kamunting.
  

No comments:

Post a Comment